Kerajaan Perpaduan diyakini kekal hingga habis penggal - PM

Kerajaan Perpaduan diyakini kekal hingga habis penggal – PM

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan kakitangan Wisma Putra selepas majlis penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam nada cukup optimis menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak tumbang.

Malahan, beliau turut percaya, kerajaan yang disertai empat blok dan tiga parti kecil itu boleh kekal bertahan sehingga tempoh penggalnya tamat pada 3 Disember 2027 kelak.

“Saya yakin kerjasama ini (Kerajaan Perpaduan) akan bertahan sehingga habis penggal dan tidak terjejas dengan apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin Pas itu,” katanya ketika berucap menyampaikan ucaptama pada Sesi Interaksi Bersama-sama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya, di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa Kerajaan Perpaduan akan ‘tumbang’ sendiri dalam masa terdekat, bahkan menyifatkan usaha pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Anwar adalah dibolehkan kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 24 November 2022 atas titah Yang di-Pertuan Agong susulan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti meraih majoriti mudah 112 kerusi.

Pakatan Harapan yang mendapat banyak kerusi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu bersetuju mewujudkan gabungan dengan blok politik tempatan lain.

Mengulas lebih lanjut, Anwar turut mengulangi pendirian mengenai kekukuhan Kerajaan Perpaduan dan menganggap pandangan pihak luar sebagai bermotifkan agenda politik.

“Ia (kenyataan pemimpin blok lawan tersebut) tidak lebih hanya berbentuk retorik politik,” tegasnya yang melahirkan kepercayaan bahawa ramalan kejatuhan beliau tidak berasas.

Meskipun tidak merujuk secara spesifik, beliau difahamkan mengulas kenyataan oleh bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Kerajaan Perpaduan tumbang dalam masa terdekat dan ia bukan pelik kerana situasi politik semasa kini tidak stabil.

Anwar walau bagaimanapun tidak menjelaskan perkara tersebut dengan lebih terperinci namun yakin usaha beliau menerajui negara ketika ini tiada berdepan masalah besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya