MENTERI dan kerajaan sepatutnya beri tumpuan kepada urusan yang lebih mendesak seperti kekurangan katil pesakit, mutu perkhidmatan, nasib doktor pelatih dan kontrak yang jauh lebih penting dan bukannya isu Generasi Penamat atau GEG.
Dengan tampuk kepimpinan yang baharu, Kementerian Kesihatan harus memberi perhatian kepada isu-isu semasa yang menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan negara terlebih dahulu dan bukannya melaksanakan sesuatu yang mendapat tentangan daripada ramai pihak seperti larangan penggunaan produk tembakau dan merokok kepada sesiapa dilahirkan selepas 2007.
Lebih banyak perkara yang dibangkitkan sebelum ini termasuk hak sama rata perkhidmatan yang melibatkan penduduk luar bandar.

Perkara-perkara ini jika tidak ditangani segera dengan efisien akan memberi kesan kepada masyarakat setempat terutama kepada mereka yang bergantung penuh kepada perkhidmatan perubatan daripada hospital awam.
Satu pertanyaan kepada Kementerian Kesihatan, adakah dasar larangan ini yang belum tentu akan berjaya lebih penting jika hendak dibandingkan capaian rawatan yang berkualiti untuk rakyat setempat terutamanya di luar bandar?
Sebagai Menteri Kesihatan yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan, Dr. Zaliha Mustafa harus memberi fokus kepada kepakaran beliau iaitu dalam mengurus tadbir sistem perubatan negara.
Beliau sudah tentu lebih memahami kekurangan yang terdapat dalam perkhidmatan awam dan mengutamakan rintihan komuniti kesihatan yang mahu melihat kualiti perkhidmatan perubatan negara diperbaiki.
Seperti kita sedia maklum, GEG merupakan legasi kerajaan terdahulu dan sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan yang mempunyai misi dan visi yang berbeza, kementerian harus mencari kelainan dalam pengurusan supaya dapat melakukan perubahan ke arah kecemerlangan.
Dalam hal ini, Dr. Zaliha patut mengukir langkah sendiri dengan idea baru dan bernas mengikut visi kerajaan baru sekiranya ingin mempertingkatkan kawalan penggunaan tembakau.
Perlu diingat apabila dasar GEG ini diumumkan oleh mantan menteri kesihatan terdahulu, ia mendapat reaksi berbeza dari pelbagai pihak.
Dasar yang dibentangkan ini melalui Akta Kawalan Tembakau dan Merokok pada penggal yang lepas telah mencetuskan perdebatan dari sudut industri, kepenggunaan, malah memberi kesan dari sisi politik.
Dasar ini telah memberi impak yang sangat besar dan ramai pihak tidak bersetuju dan membantah perlaksanaannya. Ia dibentangkan secara tergesa-gesa dan dikatakan memberi kesan secara tidak langsung kepada mantan Menteri Kesihatan sehingga dikatakan menjadi punca beliau kalah kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Pelaksanaan GEG akan memberi kesan menyeluruh terhadap sosial dan ekonomi rakyat dan negara perlu dipertimbangkan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu, kos sara hidup makin meningkat, daya beli rakyat yang semakin kurang. Ini boleh mengakibatkan impak sosial dan ekonomi yang sukar dijangka ke atas rakyat.
Oleh itu, ia perlu diperhalusi semula dan bukannya dilaksanakan dengan tergesa-gesa.
TUN FAISAL ISMAIL BIN AZIZ
PUTRAJAYA