PETALING JAYA: Nasib berbeza menimpa dua pelumba muda negara iaitu Muhammad Hakim Danish Ramli dan Syarifuddin Azman pada penampilan sulung mereka dalam perlumbaan berbeza, tetapi pada Grand Prix Motosikal yang sama iaitu GP Portugal yang berakhir, kelmarin.
Litar Antarabangsa Algarve di Portimao, Portugal menjadi saksi kepada kejayaan podium yang dicipta Hakim Danish dalam Red Bull MotoGP Rookies, tetapi berbeza pula dengan Syarifuddin atau Damok yang sekadar berada di kedudukan ke-22 dalam saingan Moto3.
Pengurus pasukan ZK Racing ketika diminta mengulas mengenai dua pelumba asuhannya itu berkata, Hakim Danish menamatkan Perlumbaan 2 dengan menaiki podium, ia satu keputusan yang tidak dijangka sama sekali pada awal tahun ini.
“Kita menjangkakan Hakim Danish menghabiskan perlumbaan dalam kelompok ke-10 dan mungkin menuju ke hujung musim menghabiskan perlumbaan di kelompok lima.
“Tetapi, hari ini (kelmarin) dia menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan saya dan semua orang apabila menghabiskan perlumbaan di tempat ketiga, menaiki podium,” katanya menerusi kiriman video dari Portugal.
Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, kejayaan tersebut juga akan membantu Hakim Danish meningkatkan keyakinannya untuk di bawa ke perlumbaan seterusnya di Jerez, Sepanyol nanti.
Jelas Zulfahmi, untuk seorang lagi pelumba Malaysia yang beraksi dalam Red Bull MotoGP Rookies iaitu Danial Syahmi Ahmad Syahril yang menamatkan saingan di kedudukan ke-10, ada beberapa perkara perlu diperbaikinya supaya dia dapat merapatkan jurang prestasi dengan Hakim Danish.
Sementara itu, buat Damok pula, Zulfahmi memberitahu, tahun ini merupakan penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia dan ada banyak perkara yang perlu dia pelajari dari segi latihan dan strategi dengan pasukannya, MT Helmets-Msi.
“Tadi sebelum saya balik pun mereka ada ada sesi taklimat tentang perkara-perkara yang perlu dia perbaiki untuk perlumbaan seterusnya, jadi kesimpulannya minggu ini saya yakin Damok adalah pelumba yang perlu saya beri perhatian lebih.
“Saya kena selalu berkomunikasi dengannya supaya dia terus bermotivasi untuk perbaiki prestasi pada perlumbaan akan datang,” ujarnya.-UTUSAN