PUTRAJAYA: “Sayang, saya takut.”
Itu kata-kata akhir pelakon, Kamal Adli kepada isterinya, Uqasha Senrose sebelum dimasukkan ke bilik pembedahan selepas diserang secara mengejut oleh seorang individu tidak dikenali.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Uqasha yang ketika ini berada di Singapura memberitahu, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila seorang lelaki menyerang Kamal dengan menggunakan cota.
Kongsi Uqasha, Kamal dipukul bertubi-tubi di seluruh badan sehingga bahagian belakang kepalanya pecah menyebabkan pendarahan yang banyak.
“Kami ada acara ekspo di Singapura. Hari ini adalah hari terakhir dan kami dah nak selesai. Lebih kurang jam 10 malam, ada seorang makcik nak bergambar di kerusi roda.
“Saya dan Kamal sedang bergambar dengan peminat. Tiba-tiba, ada seorang lelaki datang dan bertanya, Kamal mana.
“Kami fikir, dia peminat. Kamal tegur dia, tiba-tiba dia keluarkan cota dari poket. Dia pukul berkali-kali belakang kepala.
“Darah berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Uqasha memaklumkan, dia masih menunggu perkembangan keadaan Kamal yang ketika ini berada dalam bilik pembedahan.
“Saya sedih kerana Kamal perlu jalani pembedahan, sebab belakang kepala luka panjang. Mungkin dia kena ditidurkan. Saya tak tahu.
“Saya tak boleh nak masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya ketakutan.
Sementara itu, pelakon Rindu Awak Separuh Nyawa turut meluahkan kerisauannya apabila dia dan adik beradiknya menerima ugutan daripada individu itu.
“Bila dia dah ditangkap oleh orang awam, dia berikan beberapa alasan antaranya, kononnya dia dihantar oleh satu pihak.
“Kemudian, katanya dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya.
“Tapi lebih merisaukan, dia memberikan ugutan kepada kami. Katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik beradik saya, kami akan menanggung akibatnya.
“Kalau dia ada cota dan senjata tajam, tak mustahil dia ada senjata api juga. Depan polis pun dia berani berikan ugutan,” kongsinya.
Uqasha dalam pada itu memohon semua yang mengenali suaminya untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan mereka yang berada di Singapura ketika ini.-UTUSAN