DUNGUN: Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) maut selepas tidak sedarkan diri dipercayai keracunan makanan di Gunung Gelemat, Kuala Jengai, Hulu Dungun, dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, mangsa, Muhammad Nazli Ajis, 36, disahkan meninggal dunia sejurus pegawai perubatan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.35 petang tadi.
“Kita menerima maklumat mengenai keadaan mangsa yang kritikal dan tidak sedarkan diri dipercayai keracunan makanan.
“Pasukan bomba dan penyelamat bersama seorang doktor ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa menggunakan sebuah helikopter kira-kira pukul 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Baharudin berkata, sebaik sahaja tiba di Klinik Kesihatan Bandar Al Muktafi Billah kira-kira pukul 6.45 petang, pegawai perubatan membuat pemeriksaan dan mengesahkan kematian buat kali kedua.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Menurut Baharudin, difahamkan, mangsa yang merupakan anggota Perhilitan Daerah Mersing, Johor, bersama 12 rakan sekerjanya ke gunung tersebut sejak 9 Mac lalu untuk Program Pemantauan Dan Perlindungan Kuang Gunung di Gunung Gelemat, Taman Negara.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, operasi menyelamatkan mangsa terpaksa menggunakan helikopter AW189 berikutan jarak dan laluan ke gunung tersebut memakan masa hingga tiga hari menerusi jalan darat.
“Operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit,” katanya. – UTUSAN