Hoki Malaysia amalkan dasar tutup pintu terhadap serantau

Hoki Malaysia amalkan dasar tutup pintu terhadap serantau

SKUAD remaja hoki negara giat menjalani latihan bagi persiapan ke Sukan SEA di Kemboja Mei ini.-IHSAN HOKITA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun skuad hoki negara dilabel sebagai pilihan utama untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung 5 hingga 17 Mei depan, pengendali negara, Amin Abdul Rahim enggan ambil risiko mendedahkan keadaan pasukannya kepada lawan.

Ia susulan beberapa negara serantau seperti Thailand dan Indonesia menyatakan hasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia, namun ia terpaksa ditolak bagi mengelakkan mereka membaca taktikal skuad negara.

Sebaliknya, Malaysia yang akan mempertaruhkan skuad remaja untuk temasya Sukan SEA kali ini, bakal beradu kekuatan dengan kelab hoki di Australia.

“Memang ada Thailand dan Indonesia meminta mengadakan aksi persahabatan, namun MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) memilih untuk tidak bertemu dengan mana-mana negara yang beraksi di Sukan Sea, jadi kita hanya akan mempersiapkan diri dengan menentang skuad senior serta kelab Australia,” jelas Amin yang ditemui pemberita ketika sesi latihan skuad hoki remaja di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Tambah Amin, biarpun lawan di Australia hanyalah berstatus kelab, namun ia tetap mempunyai kualiti yang lebih tinggi bagi mempersiapkan barisan pemainnya untuk menghadapi dua lagi kejohanan penting tahun ini iaitu Piala Asia di Oman serta Kejohanan Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur pada Disember.

“Memandangkan mereka sedang melangsungkan saingan liga di sana, jadi kita memilih untuk bertemu dengan kelab di sana kerana pemain kebangsaan mereka akan kembali ke pangkuan masing-masing.

“Jadi kita akan berdepan dengan pemain senior kerana sebelum ini ketika kita pergi ke sana kita hanya berentap dengan pemain remaja. Saya mahu melihat intensiti permainan, jadi keputusan tidak diambil kira.

“Walaupun hanya pasukan kelab tapi jika ada dua atau tiga pemain kebangsaan Australia ia tetap dianggap sebagai standard tinggi. Apa yang saya mahukan kualiti, tempo, intensiti dan kelajuan agar anak buah saya dapat membiasakan diri dengan semua itu,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya