PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya berjaya memimpin babak pertama dengan kelebihan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Meskipun skuad kebangsaan memiliki beberapa peluang tetapi aksi cemerlang penjaga gol pelawat, Rasul Charyyev memastikan gawangnya hanya dibolosi satu gol.
Penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi juga tidak kurang hebatnya apabila menampilkan aksi menyelamat menerusi beberapa percubaan berbahaya berisan serangan Turkmenistan.
Pemain tengah naturalisasi negara Paulo Josue terlebih dahulu menguji gawang Turkisthan menerusi tandukan namun diselamatkan Rasul, disusuli tindakan rembatan susulan Dion Cools yang terkena pertahanan pelawat pada minit ke-23.
Tiga minit kemudian, Cools sekali lagi memberi ancaman kepada gawang pelawat menerusi sepakan bola mati namun sekali lagi dinafikan Rasul.
Usaha skuad negara memburu gol pertama akhirnya terhasil menerusi ledakan Akhyar Rashid pada minit ke-29 selepas memanfaatkan lorongan daripada Corbin Ong.
Akhyar sekali lagi hampir mencetak gol kedua tetapi percubaannya pada minit ke-34 dinafikan Rasul.
Peluang terakhir Turkmenistan untuk menyamakan kedudukan sebelum memasuki bilik persalinan hadir pada minit ke-37 menerusi dua percubaan masing-masing daripada pemain tengah, Ruslan Mingazov dan Resul Hojayev .-UTUSAN