Elak dewasakan anak terlalu awal - Utusan Malaysia

Elak dewasakan anak terlalu awal

FARAHANIM Razak dan suami Dr. Arif Aizudin Mohamed Shamsuri elak anak berpakaian seksi yang boleh mendatangkan komen negatif di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBU bapa hari ini bagaikan berlumba-lumba untuk mempamerkan anak siapa yang paling cantik, pandai dan menarik di media sosial sejak dari awal usia mereka.

Dalam tidak sedar, ia telah membantutkan proses tumbesaran, perkembangan dan membataskan cara pemikiran kanak-kanak.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd. Khalid, sebenarnya kita tidak boleh menggalakkan ibu bapa mendewasakan anak sebelum waktunya.

“Persepsi kecantikan itu tidak sesuai dengan imej dan umur kanak-kanak pada masa ini. Sebagai contoh, kanak-kanak dalam usia dua hingga tiga tahun, itulah proses untuk pengenalan dengan pertumbuhan gender sexual.

“Jadi, kalau tidak dihalang dan kawal kanak-kanak yang terlalu obses dengan kecantikan pada peringkat awal bimbang nanti akan jadi melampau sehingga menyebabkan beberapa isu psikologi seperti anxiety, depresi dan sebagainya.

“Daripada usia mereka itu sepatutnya bermain, developed social learning dengan kawan-kawan, bersosial dan sebagainya tetapi dia akan menjadi sebaliknya iaitu akan timbul rasa anxiety atau rasa tidak selamat kalau tidak bersiap dan cantik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DR. RAJA KAMARIAH RAJA MOHD. KHALID


GANGGU PERKEMBANGAN, CARA PEMIKIRAN

Tambah beliau, apabila anak-anak telah didedahkan dengan dunia atau tatacara orang dewasa terlalu awal, maka akan mengganggu perkembangan kanak-kanak itu. Apabila dia bersekolah, jumpa rakan sebaya, pemikiran mereka tidak akan sama.

“Ini adalah antara salah satu kesan perkembangan kanak-kanak bila didedahkan terlalu awal. Dalam psikologi juga ada nyatakan umur kanak-kanak tertentu ini akan tertarik dengan cara orang dewasa tidak kira lelaki dan perempuan. Umur empat tahun nak bergaya seperti ibunya. Ibu bersolek, dia pun nak juga, bapa main bola dia juga begitu. Itu biasa dan normal tetapi ibu bapa perlu bijak supaya tidak tenggelam dengan situasi itu sebelum umur anak-anak capai remaja.

“Kalau kita lihat daripada psikologi kanak-kanak, waktu kanak-kanak ini biarkan mereka bermain. Biar mereka kenal pasti sendiri perasaan, tingkah laku dan pemikiran yang sesuai dengan usia. Jika didedahkan terlalu awal dengan kecantikan dan kesempurnaan, pakai baju cantik, baju yang menarik perhatian orang, suatu hari nanti apabila tidak dapat perhatian itu ia akan menimbulkan rasa anxiety dalam diri mereka.

“Sebenarnya, pendedahan dunia dewasa ini sepatutnya berlaku pada usia remaja atau awal umur 17 dan 18 tahun. Tetapi sebaliknya ia telah berlaku pada peringkat awal kanak-kanak. Jadi, ia tidak beberapa sihat untuk perkembangan kanak-kanak itu sendiri,” katanya.

TINGKAT JURANG GENDER

Raja Kamariah berkata, sebagai ibu bapa yang terikut-ikut dengan media sosial, trend mencantikkan anak seperti orang dewasa secara tidak langsung akan menambahkan lagi jurang gender dalam masyarakat.

“Kalau boleh kita tidak mahu wujudkan perbezaan gender. Perempuan perlu memakai baju pink, bersolek, memakai pakaian cantik seperti princess, buat kerja rumah dan sebagainya. Sedangkan kita boleh melakukan kerja lelaki juga. Tetapi apabila media sosial terlalu dedahkan perkara ini, hasrat untuk kesamarataan gender itu akan jadi sukar,” katanya.

Menyedari media sosial mempengaruhi sifat semangat ibu bapa untuk mendewasakan anak-anak, ujar beliau, ramai ibu bapa yang menyedari dan takut akan perkara seperti pedofilia tetapi mereka tidak tahu modus operandi pemangsa.

“Kebanyakan kes, ibu bapa tidak sedar memuat naik gambar anak tanpa berbaju mengundang bahaya. Sikap obses berkongsi dan mahu anak ada media sosial terlalu awal serta berkongsi gambar-gambar yang akhirnya memudahkan seseorang itu menjadi mangsa.

“Selain itu, aplikasi permainan dalam talian yang dimuat naik juga mengandungi hidden camera. Sebab itu, gambar pedofilia di internet cara kedudukan yang diambil adalah sama.

“Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu bijak dan ada ilmu selain ada kesedaran untuk lebih takut dan berwaspada di media sosial. Memang kita tidak boleh halang perkembangan media sosial tetapi perkembangan tumbesaran anak-anak perlu ada keseimbangannya. Kita harus bijak memilih medium sama ada kita benarkan diri kita hanyut dengan arus media atau sebaliknya,” katanya.

GANGGU PRIVASI KANAK-KANAK

Dalam pada itu, Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria berkata, pendedahan terhadap kehidupan dewasa, termasuk penggunaan media sosial haruslah dilakukan secara terawal, berperingkat dan mengikut kesesuaian fasa perkembangan sosial, kognitif dan emosi kanak-kanak.

DR. ROZANIZAM ZAKARIA

“Pendedahan kepada dunia glamor misalnya boleh mengganggu privasi kanak-kanak, terdedah kepada risiko manipulasi, buli siber serta beri kesan kepada pembentukan self-esteem kanak-kanak.

“Fasa awal kanak-kanak sangat fragile dan emosi mudah terkesan. Keutamaannya adalah bermain, belajar, bersosial dalam situasi yang terlindung dengan kawalan dan kasih sayang keluarga,” katanya.

Beliau yang juga Felo Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, antara faktor penyumbang adalah tekanan sosial, fear of missing out, ikut trend yang akhirnya memberi tekanan kepada ibu bapa untuk tularkan kisah kanak-kanak, jadikan anak content termasuk libatkan anak dalam industri yang tidak sesuai dengan keadaan mereka masih kecil.

Kongsi beliau, ramai ibu bapa tidak sedar isu pedofilia disebabkan ia jarang dibangkitkan malah masih banyak kes yang berlaku tanpa dilaporkan, tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

HAMPIR TERJERAT DENGAN PEDOFILIA

MEMBESARKAN anak di era arus perdana kini begitu mencabar tidak kira di dunia realiti mahupun alam maya. Semua gerak-geri, gambar dan video akan dipertontonkan di media sosial.

Boleh dikatakan cara hidup kita hari ini semuanya pengaruh media sosial. Apa yang kita lihat pasti terikut-ikut dengan trend di media sosial terutama apabila melihat cara hidup anak-anak selebriti dan pempengaruh. Namun itu adalah hak masing-masing untuk pamer anak.

Pengacara, model dan usahawan, Farahanim Razak, 33, mendedahkan dia mempunyai pengalaman yang mana telah diganggu oleh seorang lelaki pedofilia apabila memuat naik gambar sepasang anak kembar perempuannya iaitu Amina Raissa Arif Aizudin dan Amira Raissa, 5, suatu ketika dulu.

Kongsi Farahanim, dia pernah berkongsi gambar anak kembarnya yang memakai skirt paras lutut di Instagram kemudian telah dikomen oleh seorang lelaki yang seakan-akan tertarik dengan bahagian tubuh anak-anaknya.

“Anak-anak saya jenis kulit cerah. Jadi, ada seorang lelaki komen dengan memuji ‘hmm, gebunya betis dia’. Selepas membaca komen itu, saya terus padam gambar mereka. Terus rasa sangat menakutkan. Risau kalau dia tahu di mana kita tinggal dan anak-anak bersekolah,” katanya.

TAPIS GAMBAR DIKONGSI

Susulan daripada kes itu, Farahanim sangat berhati-hati dan tapis gambar yang ingin dikongsi di media sosial terutama Instagram miliknya.

“Secara jujur, saya memang takut dan risau pendedahan yang terlampau di media sosial sebenarnya sangat bahaya yang boleh menarik pedofilia ini.

“Sangat merisaukan terutama kita sebagai ibu bapa. Apa yang saya dan suami boleh buat adalah tapis dan kawal hantaran atau posting yang dibuat di media sosial.

“Tidak terlalu excited dan obses untuk pamerkan anak di media sosial dan hadkan mana yang patut. Kita perlu lihat dari sudut lain ada juga mata-mata yang berniat jahat yang melihat anak kita ke arah yang tak baik untuk kesihatan mereka terutama penyakit ain dan pedofilia ini,” katanya.

FARAHANIM RAZAK pernah diganggu pedofilia selepas muat naik gambar Amina Raissa dan Amira Raissa.

Tambah Farahanim, dia dan suami, Dr. Arif Aizudin Mohamed Shamsuri berpendapat, terdapat banyak aspek dalam mendewasakan anak bukan sahaja dari segi cara pemakaian tetapi termasuk peribadi, perwatakan, cara bawa diri dan adab yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak.

“Hak ibu bapa untuk mendewasakan anak dengan cara masing-masing. Saya tiada pendapat peribadi mengenai ini asalkan cara kita dan anak-anak berpakaian mengikut syariat Islam.

“Namun kalau kita tunjuk anak berpakaian seksi, pakaian mendatangkan komen negatif memang boleh terjerat dengan pedofilia. Ibu bapa perlu alert dengan isu semasa yang membabitkan jenayah yang boleh beri kesan pada anak-anak. Jangan rasa anak kita sentiasa selamat,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Farahanim, dia tiada masalah untuk memberi pendedahan untuk anak-anaknya mengikut jejak dia menjadi seorang model.

“Bagaimanapun saya akan tapis job apa yang mereka dapat. Kalau baju yang menutup aurat, ikut syariat Islam, tiada apa tentangan dengan cara netizen melihat atau fesyen yang boleh trigger komen negatif jadi saya tidak akan ambil untuk mereka menjadi model.

“Tetapi tidaklah berniat untuk berlumba-lumba anak siapa paling cantik dan sebagainya. Mereka yang memuat naik gambar dan video anak-anak mungkin ingin beri inspirasi dan kongsi kelebihan anak masing-masing jadi kita pandang dari sudut positif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya