KLANG: Dua penunggang motosikal nyaris bertemu ajal apabila mereka bertembung sesama sendiri dekat Jalan Perindustrian Kapar-Meru, di sini, baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku apabila seorang penunggang motosikal dipercayai warga emas berada di tengah jalan cuma masuk ke lorong kiri dengan hanya mengangkat tangan kiri sebagai isyarat dia mahu memasuki lorong tersebut.
Bagaimanapun, dia dilihat terus bertukar lorong tanpa memastikan jarak selamat dengan kenderaan lain menyebabkan sebuah motosikal dari arah belakang tidak sempat brek lalu bertembung dengannya sehingga warga emas itu terjatuh.
Sementara, penunggang motosikal dari arah belakang itu hampir terjatuh serta nyaris dilanggar sebuah kereta di sebelah kanannya, namun berjaya mengawal motosikal dan meneruskan perjalanan.
Insiden berkenaan sempat dirakam seorang pengguna media sosial menerusi kamera papan pemuka sebelum menularkannya sehingga menerima lebih 1,000 tontotan.
Video berkenaan kemudian menerima pelbagai reaksi, menurut seorang pengguna Facebook, Mohd. Nizam, dua penunggang motosikal itu masing-masing melakukan kesalahan iaitu seorang terus menukar lorong tanpa melihat kenderaan di belakangnya, manakala seorang lagi menunggang motosikal laju di susur berkenaan.
“Mesti sentiasa peka terhadap kenderaan yang berada di susur atau simpang jalan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Ahmad Aidil berkata, warga emas itu tidak sepatutnya terus menukar lorong secara tiba-tiba sebaliknya perlu memastikan jarak selamat dengan kenderaan lain kerana berada di susur masuk ke jalan utama. – UTUSAN