Dua atlet pekak negara berlatih dalam keadaan daif, tanpa elaun

Dua atlet pekak negara berlatih dalam keadaan daif, tanpa elaun

SANUSI (baju pink) memberi tunjuk ajar kepada Hazrul dan Zaiman di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang, Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Biarpun bergelar atlet Malaysia, namun dua atlet pekak terpaksa mengerah keringat bagi menampung kehidupan peribadi dan menjalani latihan harian, tanpa bantuan daripada pihak berwajib meskipun pernah menyumbang pingat kepada Malaysia.

Hazrul Shah Amri, atlet lompat jauh, mengambil upah mencuci kenderaan dengan pendapatan antara RM36 hingga RM40 sehari, tidak termasuk latihan serba kekurangan tanpa elaun yang dijalaninya di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang, Arau, Perlis.

Atlet berusia 20 tahun itu pernah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Sukan SEA Pekak 2021, malah, dilihat mampu menjadi prospek pingat pada Sukan Olimpik Pekak Jepun 2025.

Bercerita lanjut, Hazrul berkata, dia pernah belajar menggunting rambut namun kedai berkenaan sekarang sudah tutup.

“Kini saya ambil upah mencuci kereta setiap hari. Bergantung kepada jumlah kereta. Upah yang diperoleh akan dikongsi dengan empat pekerja lain.

“Upah harian saya RM36 hingga RM40. Kerap kali berkurangan kerana bergantung kepada jumlah kenderaan yang datang hendak dicuci,” katanya.

Rakannya, Zaiman Megat Abu, atlet lompat kijang pula bekerja sebagai penoreh getah dan mengangkat guni baja sebagai pendapatan keluarga ekoran dia perlu menjaga bapanya yang sakit jantung.

Zaiman memulakan rutin kerjanya selepas solat subuh, sebelum merawat keadaan bapanya dan menjalani latihan pada sebelah petang hingga malam di trek sekolah yang sama, yang hanya dibuat di atas jalan tar yang dilapik dengan karpet rumput tiruan terpakai.

Kedua-dua atlet ini berlatih di bawah kendalian, Sanusi Zainal Abidin yang juga merupakan guru pendidikan jasmani sekolah berkenaan, pada setiap hari kecuali Sabtu.

“Upah menoreh getah selalu tak dapat dilakukan disebabkan hari hujan, manakala upah angkat guni baja hanya ketika musim menanam padi. Apabila padi sudah membesar, tiada lagi upah angkat guni baja.

“Dua kerja rutin itu tidak tetap. Saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Memang penat kerana perlu buat dua pekerjaan harian dan menjaga bapa sakit sebelum menjalani latihan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata, dua atlet berkenaan berlatih tanpa menerima sebarang elaun namun tetap bersemangat kerana ingin beraksi di Olimpik.

“Mereka perlu bekerja setiap hari sebelum menjalani latihan dari petang hingga malam dalam pelbagai kekurangan. Walaupun penat, tetapi demi mengubah kehidupan keluarga, mereka menyasarkan pingat dan berhasrat menaikkan nama serta imej negara.

“Malah, kejohanan yang disertai seperti di Melaka ditampung oleh pihak persatuan dan perbelanjaan sendiri.

“Begitu juga dengan kejohanan lain termasuk Olimpik Pekak Jepun, jika tiada peruntukan kewangan, semua usaha akan sia-sia,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya