Berbuka puasa dengan 1001 rasa

Berbuka puasa dengan 1001 rasa

CEF selebriti, Dee menunjukkan menu kambing golek pada previu Bufet Ramadan di The Grand Campbell Hotel. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RINDUNYA nak berbuka dengan masakan ibu tetapi waktu dan kewangan sering menghalang warga kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menjamah masakan ibu tercinta.

Ada sesetengah warga kota sudah lama tidak merasai air tangan ibu yang sememangnya sentiasa enak kerana insan tersayang sudah lama pergi buat selama-lamanya.

Memahami keinginan perantau di kota, The Grand Campbell Hotel menyediakan bufet Ramadan berkonsepkan citarasa masakan tradisional dari seluruh negara bermula dari utara hingga selatan.

Menariknya, tetamu bakal dihiburkan dengan pelawak sensasi, Dee ‘Jangan Ketawa’ yang menjadi pengacara majlis berbuka.

Dee atau nama sebenarnya, Syed Muradzi Syed Shamsul berkata, ada lebih 100 juadah disediakan bagi mengubat rindu mereka pada masakan ibu di kampung.

“Menu utama yang mesti dicuba adalah kambing golek bakar, ikan bakar dan sambal ikan bilis petai.

“Ada tiga jenis nasi iaitu nasi putih, nasi minyak, nasi briyani dan nasi mandy untuk dimakan bersama lauk pauk yang dihidangkan. Bagi membangkitkan selera, terdapat budu, sambal belacan, sambal tempoyak, sambal hitam dan air asam,” katanya ditemui pada majlis previu bufet berbuka puasa Hotel The Grand Campbell yang bertemakan 1001 rasa, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan dan Hartanah Shapadu, Zarimah Mohamed.

Lebih unik, Dee turut menampilkan resipi arwah ibunya untuk menambahkan lagi kemeriahan juadah disediakan seperti gulai kari, ikan kering tumis darat dan ayam masak hitam.

Bufet Ramadan bertempat di Dewan Bunga Raya di tingkat empat itu boleh memuatkan 500 orang sekali gus turut menyediakan gerai-gerai hidangan seperti gerai kambing golek dan stesen untuk aneka kerabu seperti mangga, tauge dan pecal.

Gerai pemanis mulut turut menghidangkan aneka bubur seperti bubur jagung, bubur pulut hitam and bubur lambuk. Terdapat juga rojak buah dan kuih-muih seperti aneka agar-agar, popia sira dan kek marble.

Paling menarik adalah pelbagai air dihidangkan bagi menghilangkan dahaga seperti air lemon pudina, jagung madu, teh O ais, asam boi, makisar, teh tarik dan kopi O.

GAMIT NOSTALGIA

Sejak dulu lagi, Jalan Tunku Abdul Rahman antara kawasan meriah setiap kali menjelang bulan Ramadan dan Syawal kerana ia menjadi tumpuan warga kota untuk mencari juadah berbuka puasa dan membeli-belah persiapan raya.

Antaranya, pusat beli-belah Kompleks Campbell yang dulunya terkenal sebagai tempat membeli-belah. Bagaimanapun, kompleks ini kini dilengkapi hotel yang dikenali sebagai The Grand Campbell Hotel.

“Generasi kini mungkin tidak tahu bangunan yang menempatkan hotel The Grand Campbell di Jalan Dang Wangi ini adalah antara pusat beli-belah paling awal dibina di tengah Kuala Lumpur,” kata Dee.

Kompleks Campbell ini adalah antara tarikan di ibu kota untuk orang ramai datang membuat persiapan sempena Ramadan dan menyambut Syawal.

Sementara itu, Zarimah berkata, ada pakej penginapan Ramadan Staycation menginap sambil membeli-belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman pada harga serendah RM150 bagi Bilik Superior beserta sahur untuk dua orang.

“Tahun ini Kompleks Campbell meraikan ulang tahun yang ke-50 dengan menganjurkan pelbagai aktiviti seni dan budaya,” katanya.

Aktiviti berkenaan akan dijadikan sebagai platform untuk memupuk semangat cintakan seni budaya lama. Kompleks Campbell ini juga satu-satunya bangunan vintage yang akan mengumpulkan penggiat seni dan usahawan luar bandar.

“Kami sengaja mewujudkan peluang untuk pengiat seni yang tiada tempat untuk memasarkan produk mereka.

“Di samping itu, pihak pengurusan bakal memperkenalkan ruang majlis terbuka (open event space) yang boleh memuatkan sehingga 4,000 pengunjung di bahagian atas bangunan di tingkat empat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya