PETALING JAYA: Ketiadaan Arif Aiman Hanapi ketika sesi latihan yang menimbulkan tanda tanya kemungkinan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak akan digunakan Harimau Malaya ketika berdepan Hong Kong, esok akhirnya terjawab.
Selain bintang muda JDT itu, turut tidak akan bersama skuad Harimau Malaya menentang Hong Kong adalah pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos.
Kedua-dua pemain itu dilepaskan daripada kem skuad kebangsaan susulan mengalami kecederaan selepas ujian dibuat pegawai perubatan terhadap mereka.
“Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.
“Pegawai dan pasukan perubatan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.
“Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu. Semoga cepat sembuh, Arif Aiman dan Endrick!,” jelas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam satu kenyataan hari ini.
Pada aksi terakhir menentang Hong-Kong sebelum ini, Malaysia berjaya mencatat kemenangan selesa 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Safiq Rahim.-UTUSAN