Akhyar bantu Harimau Malaya benam Turkmenistan

Akhyar bantu Harimau Malaya benam Turkmenistan

Penyerang negara, Akhyar Rashid diraikan oleh rakan sepasukan selepas berjaya menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.-UTUSAN/RAJA JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya berjaya menambah mata bagi ranking FIFA apabila melakar kemenangan ke atas 1-0 ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Turun dengan misi memburu kemenangan, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menurunkan dua pemain naturalisasi yang juga ‘playmaker’ di Liga Super iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos sekali gus membuat debut pertama buat Harimau Malaya.

Jaringan tunggal pemain sayap, Akhyar Rashid sudah cukup memastikan kemenangan sekali gus menafikan hasrat skuad Karakum Warrior untuk melunaskan dendam ketika tewas 1-3 pada aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Beraksi di hadapan 5,104 penonton, pasukan kendalian Mergen Orazov hampir mengejutkan Harimau Malaya seawal minit kedua setelah rembatan deras Resul Hojayev hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang tuan rumah.

REMBATAN Akhyar berjaya mengatasi penjaga gol Turkmenistan, Rasul Charyyev.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pasukan pelawat sekali lagi berpeluang mencipta jaringan pada minit ke-11 namun penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi bertindak pantas membuang bola daripada zon bahaya.

Pasukan kendalian Pan Gon yang dilihat lambat panas mula mengatur gerakan hasil kombinasi gandingan Paulo Josue dan Endrick Dos Santos di bahagian tengah.

Pada minit ke-23, Josue menguji keampuhan benteng Turkmenistan dengan menanduk bola hasil sepakan sudut Faisal Halim namun ketangkasan penjaga gol, Rasul Charyyev pantas melayangkan badan menepis bola keluar.

Tiga minit berselang, giliran kapten, Dion Cools menguji kecekapan Charyyev menerusi sepakan bebas dari jarak dekat namun sepakan deras bek tengah itu berjaya dinafikan penjaga gol lawan.

Gawang pasukan pelawat akhirnya bolos juga menerusi serangan yang diilhamkan Dos Santos yang merampas bola daripada pihak lawan lalu dihantar kepada Corbin Ong sebelum mengumpan kepada Akhyar melepasi kawalan pertahanan dan melepaskan rembatan deras melepasi jangkauan Charryyev.

Tersentak dengan jaringan itu, Turkmenistan melancarkan serangan balas pada minit ke-31 dan berpeluang mencipta jaringan namun tandukan Resul Hojayez sedikit tersasar dari pintu gol Harimau Malaya.

Pada minit ke-35, Akhyar hampir menambah gol peribadinya namun rembatan kencang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dapat diselamatkan penjaga gol lawan.

CORBIN ong cuba mendapatkan bola dalam kotak penalti lawan.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Faisal Halim berpeluang melakukan larian ke dalam kotak penalti lawan dan melakukan sepakan lencong tetapi Charyyev berada di posisi tepat menutup peluang gol itu.

Pada minit ke-38, Karakum Warrior hampir mencipta jaringan namun kapten Harimau Malaya tangkas melakukan hadangan menghalang rembatan Didar Durdyev ketika Ahmad Syihan sudah tertewas memastikan gawang negara tidak dibolosi hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya agresif melakukan serangan dan mencemaskan pasukan lawan menerusi sepakan akrobatik Akhyar namun ia berjaya dinafikan penjaga gawang lawan.

Pada minit ke-61, Faisal sekali lagi berada di posisi terbaik untuk mencipta jaringan, sayangnya rembatan voli dari jarak dekat itu sedikit tersasar di kiri gawang gol lawan.

Pemain sayap Selangor itu mempamerkan kesungguhan untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring sekali gus menamatkan kemarau gol pada musim ini namun percubaan bergandanya pada minit ke-72 gagal menerjah ke gawang lawan.

Pada minit ke-82,  Syihan bertindak cemerlang menafikan dua percubaan jarak jauh pemain Turkmenistan bagi memastikan gawang negara tidak dibolosi.

Malaysia akan berdepan dengan Hong Kong pada satu lagi aksi perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya