5,197 kes penipuan siber direkodkan

5,197 kes penipuan siber direkodkan

TEO Nie Ching (tengah) mendengar penerangan mengenai aplikasi #BeCyberSmart dan PROTECT 360 di Mitsui Outlet Park, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sejumlah 5,197 kes membabitkan penipuan direkodkan CyberSecurity Malaysia sepanjang tahun 2022 hingga Februari lalu melibatkan 4,741 kes pada 2022 dan 456 kes tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pula menerima sebanyak 3,482 panggilan membabitkan penipuan kewangan dalam talian dengan kerugian berjumlah RM27 juta hanya pada tahun ini.

“Pada Januari lalu, sejumlah 1,768 panggilan membabitkan penipuan direkodkan dengan jumlah kerugian RM11 juta, manakala Februari sejumlah 1,714 panggilan dicatatkan dengan kerugian kira-kira RM15.9 juta,” katanya katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan kempen #BeCyberSmart dan aplikasi Protect 360 di Mitsui Outlet Park hari ini.

Mengulas mengenai kempen keselamatan siber, Nie Ching memuji inisiatif Courts Malaysia dan syarikat keselamatan siber, F-Secure yang mengambil peluang menerajui kempen keselamatan siber dengan membina ekosistem digital lebih selamat serta terjamin untuk semua rakyat di negara ini.

“Syarikat swasta digesa untuk mengutamakan keselamatan siber sebagai bidang pelaburan utama serta mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan para pelanggan mereka.

“Ini termasuk melaksanakan protokol keselamatan, menjalankan penilaian keselamatan siber secara berkala dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan pekerja dan pelanggan.

“Kita memerlukan lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam inisiatif keselamatan siber termasuk perkongsian awam-swasta untuk membantu memanfaatkan kekuatan sumber masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Courts Malaysia, Harry Higashiura berkata, kerjasama dengan F-Secure untuk kempen #BeCyberSmart dan aplikasi Protect 360 bertujuan mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat serta memperkasakan individu untuk menjaga keselamatan dalam talian mereka.

Jelasnya, Protect 360 merupakan perisai yang membolehkan pengguna membeli-belah dan membuat transaksi perbankan dengan selamat, melindungi tiga atau lebih peranti dari ransomware dan virus serta akses kepada perlindungan keselamatan data dan identiti.

“Protect 360 adalah sebuah aplikasi penyelesaian keselamatan rangkaian yang menyediakan perlindungan menyeluruh untuk peranti digital seperti komputer, telefon pintar dan tablet. Ia melindungi pengguna terhadap pelbagai ancaman dalam talian termasuk perisian hasad (malware), phishing dan cubaan penggodaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya