Warga emas maut, motosikal dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Warga emas maut, motosikal dilanggar kereta

KEADAAN motosikal yang ditunggangi Nordin@Wan Ghazali Wan Ismail selepas dilanggar kereta di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, Marang, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang warga emas maut setelah motosikal ditungganginya terlibat kemalangan di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, mangsa Nordin@Wan Ghazali Wan Ismail, 78, dari Batu 13, Durian Guling di sini meninggal dunia di lokasi kejadian setelah alami kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan melibatkan motosikal Modenas Kriss ditunggangi mangsa dan sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 26 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah simpang Masjid Durian Guling yang berada di sebelah kiri jalan secara tiba-tiba memasuki lorong kanan jalan.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu kereta yang datang dari Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang hanya sempat membrek namun tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.

“Mangsa yang merupakan seorang pesara disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Katanya lagi, pemandu kereta yang bekerja sebagai jurujual tidak alami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya