Ular tedung selar ditangkap di dalam kebun ketika sedang mengawan - Utusan Malaysia

Ular tedung selar ditangkap di dalam kebun ketika sedang mengawan

DUA ekor ular tedung selar ditangkap oleh anggota APM selepas ditemui di dalam sebuah kebun di Kampung Parit, Kuala Pilah petang tadi-GAMBAR/IHSAN APM KUALA PILAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH : Dua ekor ular tedung selar yang sedang mengawan di dalam kawasan kebun di Kampung Parit di sini ditangkap pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.

Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Abd. Rahim berkata, pihaknya telah menerima panggilan berkenaan penemuan haiwan berbisa itu pada pukul 3.48 petang. 

“Kami dimaklumkan terdapat dua ekor ular sedang mengawan di dalam rimbunan pohon buluh di suatu kawasan kebun di Kampung Parit.

“Lima orang anggota APM Kuala Pilah telah dikejarkan ke lokasi kejadian. Pihak kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular berkenaan dengan menggunakan alatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Ghazali berkata, dua ekor ular tedung selar itu masing-masing seberat lapan kilogram (kg) dan 3.5 kg.

“Ular ini telah dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Pilah yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada ancaman bahaya daripada haiwan berbisa. 

“Orang ramai jika terserempak dengan haiwan berbisa agar tidak mengganggunya dan jangan panik.  Segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya