ISTANBUL: Lebih 500 penduduk maut dan lebih 3,000 cedera di Syria dan Turkiye berikutan gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye hari ini yang turut meranapkan puluhan bangunan.
Sehingga berita ini dilaporkan, lebih 243 penduduk maut di Syria manakala di Turkiye, kira-kira 284 terkorban.
Turut terkesan daripada gempa bumi terburuk dalam sejarah itu adalah negara jiran, Syria, Lubnan, Cyprus dan sebahagian Israel.
Kata pegawai tempatan, jumlah korban turut meningkat dari semasa ke semasa kerana banyak bangunan musnah.
Pusat perkhidmatan kecemasan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) Turki meletakkan magnitud gempa pertama pada 7.4.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam ciapan Twitter turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua rakyat yang terjejas akibat gempa bumi berkenaan.