TAURANGA: Sekurang-kurangnya empat orang maut dan ribuan lagi hilang tempat tinggal selepas taufan Gabrielle melanda utara New Zealand.
Lapor Al Jazeera, taufan itu turut mencetuskan banjir dan tanah runtuh secara meluas di bahagian utara negara itu.
Taufan Gabrielle membadai New Zealand pada Ahad lalu sebelum menyusuri pantai timur Pulau Utara.
Bencana itu mengakibatkan bekalan elektrik terputus di seluruh bandar, memusnahkan ladang, jambatan dan ternakan serta rumah penduduk ditenggelami air.
Polis mengesahkan empat mangsa terkorban termasuk seorang anggota bomba sukarela yang sedang bertugas dan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh.
Menurut polis, mayat seorang kanak-kanak turut ditemukan di Eksdale selepas dipercayai lemas dalam banjir.
Satu lagi mayat dikenal pasti merupakan seorang wanita yang diperayai terkorban selepas rumahnya dihempap tanah runtuh di wilayah Teluk Hawke, dekat pantai timur negara itu.
Pihak berkuasa menganggarkan lebih 10,000 penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing.
Sementara itu, Menteri Pengurusan Kecemasan, Kieran McAnulty berkata, kerajaan amat bimbang dengan situasi semasa di Teluk Hawke.
Katanya, lebih 300 penduduk berjaya diselamatkan dari kawasan itu termasuk 60 terkandas di atas bumbung rumah mereka.
“Helikopter membantu memindahkan puluhan mangsa yang terkandas ke tempat selamat,” katanya.
Dilaporkan, beberapa sungai di Teluk Hawke masih menimbulkan risiko dan agensi pengurusan bencana sudah mengarahkan pemindahan segera.