Shereen pecah rekod kebangsaan tiga kali

Shereen pecah rekod kebangsaan tiga kali

Shereen Vallabouy mengungguli acara 400m di Kejohanan Jemputan Lewis (dalam dewan) di Chicago.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Vallabouy berjaya memecah rekod kebangsaan yang juga pencapaian peribadi terbaiknya untuk kali ketiga dengan melakukannya di Kejohanan Jemputan Lewis (Dalam Dewan) di Chicago, kelmarin menerusi catatan masa 52.87 saat (s).

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, atlet kelahiran Perak itu, turut mengesahkan bahawa dia akan menyertai Sukan SEA di Kemboja pada Mei nanti selepas terlepas temasya berkenaan tahun lalu ekoran terdapat pertindihan dengan jadual peperiksaannya di Amerika Syarikat.

Kata pelajar tahun kelima Ijazah Sarjana Muda jurusan Rekreasi dan Pelancongan di University Winona State, Minnesota itu, musim perlumbaan bagi trek dalam dewan akan berjalan sehingga bulan hadapan dan dia akan beralih semula ke trek biasa pada April nanti.

Shereen yang sudah pun melayakkan diri ke Sukan Asia di Hangzhou, China pada September, turut menjelaskan dia berada dalam keadaan sihat dan cergas sejak kali pertama memecah rekod kebangsaan pada Mac tahun lalu ketika menjuarai acara 400m Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas dengan catatan masa 53.79s.

“Ya betul. Saya akan bertanding pada Sukan SEA tahun ini. Ini adalah penyertaan ketiga saya dalam Sukan SEA. Pada pendapat saya, pencabar utama akan datang dari Vietnam kerana mereka selalu memaksa saya untuk cuba tewaskan mereka.

“Saya rasa perlumbaan itu akan menjadi sangat menarik nanti. Setakat ini catatan masa terbaik saya untuk outdoor (trek biasa) adalah 52.86s yang dilakukan pada Mei 2022.

“Saya bersyukur kerana bertanding dalam keadaan yang sangat baik, tiada kecederaan dan semuanya berjalan lancar di sini. Musim lalu saya boleh katakan sebagai permulaan kepada musim paling sihat sepanjang berada di Amerika dan saya harap keadaan ini kekal untuk saya terus mencipta prestasi lebih baik,” katanya.

Pada Januari lalu, Shereen memecah rekod kebangsaannya untuk kali kedua dengan perbezaan 0.6s dalam Kejohanan Bearson Gahtje Classics (Dalam Dewan) di Minnesota, sekali gus menjadikannya pelari wanita pertama Malaysia yang berjaya merekod catatan masa di bawah 53 saat bagi acara 400m.

Ketiga-tiga pencapaiannya ini meleburkan rekod 16 tahun yang dicipta Noraseela Mohd Khalid dengan catatan masa 54.58s.

Kejayaan itu menjadikan Malaysia kini berada landasan meyakinkan bagi prospek olahraga selepas Muhammad Azeem Fahmi turut berjaya memecah rekod kebangsaan dalam Terbuka Texas Tech & Multi di Texas yang meleburkan rekod 24 tahun yang dipegang Watson Nyambek dengan catatan masa 6.63s.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya