KLANG: Peti ais serta tandas kotor dan menjijikan antara kesalahan dikesan menyebabkan empat kedai makan di sekitar Bukit Tinggi dan Klang Utara diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang melaksanakan Operasi Kebersihan Premis Makanan, kelmarin.
Dalam operasi tersebut, pasukan penguat kuasa MPK memeriksa 20 premis dan mengeluarkan 15 kompaun atas pelbagai kesalahan lain seperti dapur kotor, tidak menggunakan perangkap minyak serta pekerja tidak mendapatkan suntikan anti demam kepialu.
“Terdapat peniaga beroperasi tanpa lesen yang sah dan membuang sisa makanan ke dalam longkang. Jabatan Kesihatan MPK mengesan semua kesalahan itu setelah menjalankan operasi tersebut di Bukit Tinggi dan Klang Utara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, 20 premis diperiksa dan empat diarahkan tutup selama 14 hari atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 62 (1) b Establishmen Makanan MPK 2007.
Jelasnya kenyataan itu, operasi kebersihan diadakan dengan tujuan untuk memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai selain mencegah berlaku kes keracunan makanan.
“Pengusaha makanan juga berdepan tindakan penutupan premis selama 14 hari di bawah Akta Makanan 1983 sekiranya terdapat kesan hurungan tikus dan lipas serta pengusaha dan pengendali makanan tidak mengamalkan kebersihan diri.
“Orang ramai juga harus peka dengan tahap kebersihan premis yang mereka kunjungi dan operasi yang kita adakan ini adalah bukti betapa isu kebersihan sentiasa dalam perhatian,” tegasnya.
Katanya lagi, MPK juga tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kebersihan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai dan pengusaha premis perlu peka dengan kebersihan kedai mereka. – UTUSAN