SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digesa segera menampal lubang-lubang yang terdapat pada jalan raya di sekitar bandar raya ini berikutan keroskan itu sudah pun menyebabkan pengguna kemalangan.
Satu insiden kemalangan tular dilaporkan terjadi dekat Persiaran Kemajuan, Seksyen 16, apabila seorang penunggang motosikal cedera akibat terlanggar sebuah lubang pada petang semalam.
Seorang saksi kemalangan, Suzana Ahmad, 40, berkata, dia melalui jalan tersebut kira-kira pukul 6.15 petang ketika hendak ke Seksyen 17.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, saya nampak seorang penunggang motosikal sudah duduk di tepi jalan setelah melanggar salah satu lubang di jalan tersebut. Didapati, remaja lelaki itu mengalami kecederaan, iaitu koyak di bahagian lengan dan kaki kanannya.
“Lubang (yang remaja itu langgar) di tepi kilang berdekatan perhentian bas dari arah Seksyen 16 ke Seksyen 17,” katanya menerusi satu hantaran dalam media sosial semalam.
Menurutnya, bagaimanapun remaja lelaki itu dibawa ke klinik oleh ibu mangsa kerana kecederaan dialaminya menyebabkan dia tidak berdaya menunggang motosikal ke sana untuk mendapatkan rawatan.
Hantaran tersebut mendapat respon lebih 200 pengguna Facebook dengan lebih 50 pengguna memberikan pandangan mereka.
Salah seorang ahli komunit itu, Zamir Mohamad berkata, sesebuah rim kereta boleh bengkok sekiranya melanggar lubang sedalam itu.
“Harap MBSA boleh ambil tindakan segera. Jangan sampai ada yang meninggal dunia langgar salah satu lubang di situ, baru nak ambil tindakan,” komennya. – UTUSAN