GAZIANTEP: Ahli sinematografi untuk filem pendek yang memenangi anugerah Oscar, ‘The White Helmets’ dan dokumentari yang dicalonkan Oscar, ‘Last Men in Aleppo’, Fadi Al-Halabi memberitahu,l dia kehilangan 13 ahli keluarganya sekelip mata dalam gempa bumi kuat Isnin lalu.
Lapor Al Jazeera, menurut catatan di laman Facebooknya, Fadi berkata, hidupnya kini kosong dan sukar untuk menerima kenyataan berhubung ketiadaan ahli-ahli keluarganya yang meninggal dunia.
“Keluarga saya tiada. Ya Allah, keluarga saya meninggal, sokongan dan kekuatan saya mati. 13 insan tersayang pergi ke syurga,” tulis Fadi.
Fadi mengasaskan Pusat Media Aleppo pada 2012 bersama beberapa wartawan Syria yang lain, menurut Rory Peck Trust, sebuah NGO yang berpangkalan di London yang menyokong keselamatan wartawan bebas.
Semalam, angka kematian di seluruh Turkiye dan Syria mencecah sekurang-kurangnya 34,179, dengan usaha bantuan berterusan, seminggu selepas gempa itu berlaku.
Usaha-usaha di Syria menjadi rumit berikutan perang saudara yang berpanjangan dan cabaran untuk mendapatkan bantuan ke kawasan yang dikuasai pemberontak di utara negara itu.