MACHANG : Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk menaik taraf kad pengenalan (Mykad) sedia ada memandangkan ia sudah dilengkapi dengan 12 ciri keselamatan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ciri-ciri keselamatan pada Mykad merangkumi komponen cip, foto, kad serta kualiti.
“Dengan adanya ciri-ciri keselamatan itu, ia sekali gus menyukarkan mana-mana untuk memalsukan MyKad,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini hari ini.
Saifuddin memberitahu, setakat KDN tidak menerima sebarang masalah atau aduan daripada rakyat berhubung isu Mykad.
Katanya, KDN sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pemalsuan MyKad. – UTUSAN