SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC mengambil keputusan hanya menggunakan tiga orang pemain import bagi membawa cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia 2023 yang akan bermula 26 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satwant Singh berkata, salah seorang daripada tiga pemain import itu ialah tonggak pertahanan musim lalu yang berasal dari Perancis, Mark Herold Goulon, 34.
Menurut beliau, turut dibawa masuk, pemain penyerang yang juga anggota pasukan kebangsaan Republik Chad iaitu Ezechiel Ndouasel, 34. Pemain tersebut beraksi di Liga Indonesia sebelum ini.
“Pemain import ketiga masih dalam perbincangan untuk menyertai pasukan. Dia akan beraksi di posisi tengah.
“Ini merupakan salah satu langkah yang diambil dalam menstrukturkan semula pasukan selain menambah kekuatan pasukan di tiga posisi utama yang amat diperlukan oleh ketua jurulatih, K. Devan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan tersebut menyaksikan pasukan Hoben Jang Hoben itu tidak mengambil pemain import bagi kuota Asia dan ASEAN seperti musim sebelum ini.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengendali Liga Malaysia sebelum ini membuat keputusan membenarkan pasukan Liga Super mendaftar sembilan orang pemain import bermula musim ini.
Sementara itu, Satwant berkata, Negeri Sembilan juga bersetuju untuk meminjamkan penjaga golnya iaitu Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman kepada pasukan Sains FC yang akan beraksi di Liga M3 musim ini.-UTUSAN.