PUTRAJAYA: Kegiatan rahsia seorang wanita tempatan menjual ribuan peranti al-Quran ke seluruh negara yang tiada perakuan sah pihak kerajaan akhirnya berjaya terbongkar.
Ia hasil serbuan mengejut ke atas sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu di Kajang, Selangor pada 20 Januari lalu.
Kejayaan tersebut dicapai susulan risikan menerusi Ops Mulia Bilangan 2 oleh sepasukan staf Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Setiausaha Bahagian itu, Nik Yusaimi Yussof, sejumlah 1,332 unit peranti disita dengan nilai anggaran sebanyak RM55,000.
“Operasi kali ini dibuat bagi membanteras kegiatan pengedaran bahan al-Quran berbentuk elektronik tiada kelulusan KDN yang keseluruhannya diimport dari China,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kertas siasatan ujarnya, sudah dibuka di bawah Seksyen 7 dan 14 (1) Akta Pencetakan Al-Quran (APTQ) 1986 kerana mengedar dan menjual bahan penerbitan tanpa perakuan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Suspek dipercayai menjadikan bahagian atas kediamannya itu sebagai tempat simpanan sebelum memasarkan pula bahan tersebut secara atas talian dan premis jualan tertentu.
Beliau menjelaskan bahawa peranti itu berupa pen dan perlu dihalakan tepat ke arah ayat tertentu di kitab suci tersebut yang sudah diprogramkan mengikut bacaan qari ditetapkan.
Nik Yusaimi menambah, semakan mendapati gajet tersebut tiada kelulusan termasuk cop dan hologram dari Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPQ).
“Perakuan ini wajib bagi memastikan bacaan tiada kesilapan atau sebutan mengelirukan termasuk dari segi hukum tajwid kerana ia boleh memberi maksud berbeza,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau mengesyaki barang itu mungkin dibawa masuk dari luar melalui kontena atau kurier dengan diisytiharkan sebagai perhiasan untuk mengelirukan kastam.
Justeru, umat Islam di negara ini dinasihatkan berwaspada dengan peranti al-Quran dijual peniaga terutama secara atas talian dengan memastikan ia ada kelulusan pihak LPPQ.
Setakat ini, hanya terdapat sejumlah 54 jenis produk berkenaan yang diluluskan setelah melalui proses semakan amat ketat oleh panel Lajnah Tasheh Al-Quran di KDN sendiri.
Pemborong atau penjual kata Nik Yusaimi, boleh memohon untuk perakuan LPPQ kerana proses itu hanya mengambil masa tiga hari sebelum diluluskan selepas tiga hari bekerja. – UTUSAN