KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang perlu bersatu dalam isu kedaulatan negara yang melibatkan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana pihak mereka akan menggunakan pelbagai cara demi menuntut aset negara.
Malah katanya, kumpulan berkenaan dilihat cuba menggunakan platform timbang tara komersial antarabangsa dengan menyasarkan aset nasional yang terdedah.
“Kita ni sebagai sebuah negara berdaulat, mesti nampak kita bersama dan bersuara daripada sekarang sampailah Jun for the French award (untuk keputusan mahkamah Perancis).
“Kita tunjukkan kepada orang di luar sana jangan memperkotak-katikkan kita rakyat Malaysia hanya kerana kita ini merupakan negara Asia.
“Jadi kalau kamu orang putih, bermata biru, berambut perang, siapa kamu nak jajah kami di timbang tara komersial. Kita akan lawan kamu,” katanya selepas sesi taklimat khas mengenai isu tuntutan kumpulan Sulu kepada ahli Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina dalam masa yang sama turut menjelaskan kes ini luar biasa kerana melibatkan aspek kedaulatan negara dan prosiding timbang tara yang sepatutnya tidak berbangkit.
“Award yang dikeluarkan telah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa khususnya melibatkan Malaysia’s diplomatic immunity and jurisdictional immunity (partial award) dan sovereignty (purported final award).
“Kerajaan tidak berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan serta tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sultan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” ujarnya. – UTUSAN