KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas barangan bernilai kira-kira RM83,000 atas pelbagai kesalahan menerusi tindakan penguatkuasaan bermula Januari sehingga 9 Februari lalu.
Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd. Kia, berkata, dalam tempoh sama juga, sebanyak 138 kompaun berjumlah RM21,7000 juga dikeluarkan kepada peniaga dan pemborong atas pelbagai kesalahan.
“Sejak 1 Januari 2023, KPDN negeri melakukan 9,141 pemeriksaan ke atas 992 premis dan daripada jumlah itu, 156 kes telah diambil tindakan untuk dibuka kertas siasatan.
“Kesalahan paling tinggi adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 iaitu 94 kes manakala Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 pula 45 kes,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Saharuddin memberitahu, sebanyak 12 kesalahan turut dicatatkan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan lima kes mengikut Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999.
Menurut beliau, KPDN negeri sentiasa melakukan pemantauan melalui operasi penguatkuasaan di premis perniagaan runcit dan borong bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi.
Tambahnya, pemeriksaan dijalankan juga adalah untuk mengekang peniaga daripada mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan dan mengaut keuntungan yang tidak munasabah.
“Saya ingi menyeru orang ramai untuk melaporkan kepada KPDN jika ada sebarang unsur penyelewengan atau kelakuan yang menyalahi undang-undang berkaitan,” ujarnya. – UTUSAN