Kerajaan lambat bertindak: Rakyat Turkiye, Syria marah!

Kerajaan lambat bertindak: Rakyat Turkiye, Syria marah!

GAMBAR dari udara menunjukkan bangunan runtuh di Hatay, tenggara Turki, pada 8 Februari 2023. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATAY: Penduduk Turkiye dan Syria kini berasa sedih, kecewa dan marah terhadap kerajaan ma­sing-masing yang dikatakan sangat perlahan untuk bertindak selepas dua gempa bumi kuat melanda kedua-dua negara itu, Isnin lalu.

Kelewatan pasukan penyelamat yang dianggotai lebih 13,000 orang bagi menghulurkan bantuan menyebabkan ramai mang­sa masih terpe­rangkap dalam runtuhan ribuan bangunan sehingga ke hari ini.

Paling malang, selepas lebih empat hari bencana itu, bau mayat dikatakan semakin kuat me­nusuk hidung di seluruh kawasan yang terkesan.

JADI GELANDANGAN
Kini, kira-kira 23 juta rakyat di kedua-dua negara dikatakan hilang tempat tinggal dan terpaksa hidup gelandangan, tidur dalam kereta dan khemah ketika cuaca sejuk membeku di bawah paras negatif lima darjah Celsius.

Selain kelaparan, bantuan ubat-ubatan kepada mangsa yang tercedera juga tidak mencukupi berikutan kemudahan perubatan juga terhad kerana turut musnah dalam malapetaka tersebut.

Malah, jumlah korban kini semakin menghampiri sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjangkakan angka korban bagi kedua-dua negara sebanyak 20,000 orang.

Jumlah itu akan menjadikan kejadian seismik paling maut di dunia sejak tsunami 2011 yang mengorbankan hampir 20,000 orang.

ERDOGAN AKUI KELEMAHAN
Presiden Turkiye, Recep Tay­yip Erdogan mengakui terdapat masalah dengan tindak balas awal kerajaannya terhadap gempa bumi yang dahsyat di selatan negara itu.

Erdogan yang akan bertanding dalam pilihan raya umum Turkiye pada Mei nanti berkata, dalam lawatan ke zon bencana, beliau dapati operasi bantuan dan menyelamat kini berfungsi seperti biasa.

Sementara itu di Syria, hospital di utara negara berkenaan juga dikatakan kehabisan bahan api dan elektrik yang menyukarkan lagi misi bantuan.

Mereka dikatakan memerlukan diesel bagi menghidupkan penjana elektrik selain memerlukan ubat penahan sakit, antibiotik dan lain-lain.

KEJURUTERAAN YANG GAGAL
Jurutera struktur Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Kishor Jaiswal memberitahu Cable News Network (CNN) bahawa Turkiye pernah mengalami gempa bumi yang ketara pada masa lalu termasuk gempa bumi pada 1999 yang melanda barat daya Turkiye dan membunuh lebih 14,000 orang.

Oleh sebab itu, katanya, ba­nyak bahagian di Turkiye mempunyai peraturan bagi memastikan projek pembinaan dapat menahan bencana berkenaan.

Namun, kata Jaiswal, tidak semua bangunan dibina mengikut piawaian seismik moden Turkiye.

“Jika anda tidak mereka bentuk struktur bangunan untuk mencerap keamatan seismik, struktur ini mungkin tidak bertahan dan tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, seorang profesor kejuruteraan gempa bumi di Universiti Bogazici di Istanbul, Mustafa Erdik berkata, beliau percaya banyak bangunan yang runtuh berkemungkinan dibina sebelum 1999 atau dengan kod binaan yang lebih lama.

Selepas bencana, beliau mendapati wujud keadaan yang mana beberapa bangunan di Turkiye tidak mematuhi kod yang ditetapkan.

Malah, Ketua Kumpulan Sukarelawan Hathi Hayati dan jurutera awam, Saria Bitar berkata, infrastruktur bangunan di Syria juga tidak dilengkapi dengan kemudahan kalis gempa bumi.

Tambahnya, bangunan lama di Syria dibina tanpa mengambil kira kejadian bencana alam selain jumlah batang logam yang tidak mencukupi mengikut asas sebuah bangunan dan tidak menggali tapak asas yang cukup dalam bagi memastikan binaan itu kekal kukuh.

“Keruntuhan bangunan di barat laut Syria dikaitkan de­ngan ketiadaan peraturan teknikal dan kejuruteraan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya