ALOR SETAR: Kematian seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), S. Vinosiny, 20, pada Mei tahun lalu disahkan akibat renjatan elektrik.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil bedah siasat turut mendapati mendiang menghidap penyakit fibrosis miokardium.
Katanya, mayat dihantar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian ke atas pelajar tersebut sebelum laporan diterima pada 22 Mei 2022 mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh ‘electrocution’.
“Laporan forensik histopatologi ke atas tisu-tisu jantung menunjukkan si mati menghidap penyakit ‘Myocardial Fibrosis’.
“Kehadiran penyakit ini meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami gangguan ritma jantung yang boleh mendatangkan maut ditambah dengan suatu renjatan elektrik yang bervoltan rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, polis Kedah menerima satu laporan berkaitan kematian seorang pelajar perempuan di asrama penginapan UUM pada 21 Mei tahun lepas.
“Ekoran daripada laporan polis tersebut, siasatan dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut. Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku dan kes dirujuk kepada pihak koroner bagi keputusan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti mana-mana pihak termasuk siasatan yang dijalankan.
“Orang ramai juga diminta memberi kerjasama serta membantu PDRM Kedah dalam usaha membanteras jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
Akhbar melaporkan, dalam kejadian pada 21 Mei 2022, pelajar semester empat Sarjana Muda Perakaunan UUM itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya sebelum disahkan meninggal dunia. – UTUSAN