PETALING JAYA: Bajet kewangan menjadi ‘nadi’ penting bagi sukan terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mencongak perjalanan barisan atlet lebih-lebih lagi ketika kontinjen negara menghadapi tiga temasya penting pada tahun ini dan juga 2024.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berharap peruntukan terhadap kementeriannya itu ditambah terutama misi untuk memburu emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris.
Adam menegaskan, kontinjen negara ketika ini sedang melakukan persiapan cukup rapi untuk memburu kejayaan di temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti sebelum meneruskan misi ke Sukan Asia Hangzhou, China (November) dan juga kejohanan kelayakan slot ke temasya Sukan Olimpik Paris.
“Ketika ini atlet negara memerlukan tumpuan khusus terutama meningkatkan pretasi mereka dan KBS juga perlu menghantar atlet-atlet ini bertanding di kejohanan luar untuk memastikan mereka mendapat persaingan lebih berkualiti.
“Jadi, kita akan melakukan perbincangan dengan baik kerana sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak sebut akan berlaku pemotongan peruntukan. Jadi kita mengharapkan penambahan sedikit peruntukan sebelum menuju ke kejohanan besar.
“Apa yang boleh saya katakan, program yang sedang diatur seperti ‘Gold Paris’ tidak akan terganggu kerana Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) saling bekerja sama menyediakan atlet kita ke kejohanan akan datang,”katanya.
Bajet 2023 bakal dibentang pada 24 Februari ini kemungkinan bakal dinilai semula, justeru ada kemungkinan bajet untuk industri sukan dikecilkan bagi diberikan kepada sektor-sektor yang lebih memerlukan.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 yang dibuat Oktober tahun lalu, sektor sukan memperoleh peruntukan berjumlah RM332 juta oleh kerajaan dengan RM145 juta daripadanya adalah bagi penyelenggaraan, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh dunia.-UTUSAN