PETALING JAYA: Penyanyi, Shiha Zikir tidak mahu terlalu berkongsi soal hubungan cintanya dengan teman lelaki, Arul kerana lebih memberi fokus kepada soal kerjaya seni yang dilihat semakin mekar.
Pada masa sama, Shiha bagaimanapun, tidak akan merahsiakan hari pernikahannya dan bakal menguar-uarkannya sekiranya persiapan menuju hari bahagia berjalan lancar.
“Kahwin? Insya-Allah, tahun ini. Tetapi kalau hendak cerita lebih lanjut, tidak. Dari dulu, saya lebih suka bercakap soal kerjaya. Kalau hal peribadi, lebih baik saya simpan sendiri.
“Memang ramai yang bertanya soal kahwin. Iyalah, saya sudah 36 tahun. Tetapi, ada perkara yang saya akan kongsi dan ada juga yang saya kekalkan privasi. Contohnya, bila orang tanya mengenai teman lelaki, saya jawab ada.
“Tidak ada pula saya merahsiakan hubungan cinta kami. Bila sudah ada tarikh dan persiapan juga berjalan lancar, saya akan umumkan. Buat masa sekarang, belum ada apa-apa perancangan serius lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Shiha yang menjalin hubungan cinta lebih 13 tahun dengan teman lelakinya juga mengakui, kerjaya seninya menuntut komitmen yang tinggi sementelah dia bakal tampil dengan lagu baharu.
“Saya baru selesai Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, minggu lalu. Sekarang, saya sedang sibuk merakamkan lagu baharu dan merangka strategi promosi. Ada juga terlibat beberapa drama dan rancangan televisyen.
“Disebabkan itu , saya lebih senang tidak menjawab soal kahwin. Bukan tidak suka, tetapi jawapannya tetap sama. Saya tidak didesak sesiapa, apatah lagi mendesak diri untuk segera bernikah,” katanya.