CIK Bunga ikuti juga kisah rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi yang didakwa terpalit dengan isu orang ketiga sehingga ikatan perkahwinannya dikhabarkan sudah terlerai, beberapa hari lalu.
Selain kisah kehadiran orang ketiga yang mengundang pelbagai kecaman, turut hangat diperbualkan netizen mengenai Hafidz dikatakan berdepan masalah kesihatan mental.
Itu yang didakwa Athira Yuhada, wanita yang dikaitkan dalam skandal pelakon tersebut. Alasan itu juga kononnya menjadi antara sebab Athira simpati hingga terheret dalam kemelut rumah tangga pelakon drama Wanita Milik Tuan Putra itu.
Gara-gara mahu memberikan sokongan, mereka hanyut dengan perasaan hingga akhirnya mencetuskan pelbagai konflik . Bila sebut pasal kesihatan mental, Cik Bunga nak luahkan sedikit isi hati.
Bukan apa, masalah kesihatan mental ini bukan perkara main-main tahu. Setahu Cik Bunga, sebelum ini, tidak pernah pula kita dengar Hafidz ada masalah kesihatan mental.
Tup tup, bila kantoi isu curang, terpacul pula masalah ‘kesihatan mental’. Cik Bunga bukan mahu mempertikai atau mempersoalkan perkara itu. Kalau betul ada masalah, segeralah berjumpa pakar bertauliah.
Dapatkan nasihat dan cari jalan terbaik untuk mengatasinya. Dalam pada itu, Cik Bunga sebenarnya turut bersedih apabila mendapat tahu Hafidz dikatakan sudah menceraikan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Ketika ramai mendoakan hubungan mereka kembali pulih, tidak sangka badai berlaku hingga pasangan tersebut akhirnya memilih untuk membawa haluan sendiri.
Cik Bunga hanya mampu mendoakan Nurul Syuhada tabah berdepan ujian itu bersama dua anak, Humairah, 6 dan Umar, 2.