Dua ejen ah long mengaku ugut peniaga - Utusan Malaysia

Dua ejen ah long mengaku ugut peniaga

M. Hashagaan (tiga dari kanan) dan Kugananthan (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang peniaga Januari lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Dua ejen pemberi pinjaman wang haram (ah long) didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang peniaga bulan lalu. 

Tertuduh, M.Hashagaan, 25, dan S. Kugananthan, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V.Vanita. 

Mahkamah menetapkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap tertuduh, jika gagal bayar boleh dikenakan penjara lima bulan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 45 tahun dengan cara mengeluarkan kata ugutan iaitu ‘akan mengambil barang-barang perniagaan dan akan membakar kedai kamu’. 

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Aman Shah, Port Dickson pada pukul 1.20 petang, 17 Januari lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca sekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Terdahulu, Jiwan memohon hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kekerapan kes ugutan di Port Dickson.

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian pada 17 Januari lalu, kedua-dua tertuduh sebagai seorang ejen ah long yang tidak dikenali telah datang mengancam mangsa untuk mengambil barang perniagaan atau membakar kedainya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya