Belanjawan 2023: Kerajaan menitikberatkan masalah rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023: Kerajaan menitikberatkan masalah rakyat

SYED ANUAR SYED MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan pembentangan Belanjawan 2023 sebagai bukti kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  menitikberatkan permasalahan yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi terutama dalam sektor pendidikan.

Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menduduki tempat pertama dalam peruntukan belanjawan tersebut iaitu sebanyak RM55.2 bilion adalah tanda kecaknaan kerajaan dalam melahirkan modal insan sejak mereka masuk ke sistem pendidikan pra sekolah tanpa mengira kawasan luar atau pinggir bandar.

“Belanjawan ini sangat mempesonakan kerana ia turut memberi tumpuan khusus kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) agar mereka juga dapat menikmati kemudahan sempurna seperti pelajar normal yang lain.

“Peruntukan RM2.3 bilion yang akan digunakan untuk menaik taraf sekolah daif, menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah, menyediakan kemudahan mesra OKU dan membina dewan terbuka untuk keselesaan murid itu pasti akan memberi impak yang besar terhadap sistem pendidikan di negara ini.

“Harapan kami agar agensi pelaksana seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan segera melaksanakan kesemua program seperti mana yang dicadangkan sebaik sahaja peruntukan diterima kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Dalam pembentangan belanjawan semalam, Perdana Menteri juga mengumumkan sebanyak RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas selaras teras keenam KPM.

Selain itu, peruntukan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) serta RM560 juta untuk membina tujuh buah sekolah baharu.

Tambah Syed Anuar, pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Makanan Prasekolah KPM pula akan meringankan beban kewangan ibu bapa dari keluarga berpendapatan rendah.

“Pengagihan 50,000 komputer riba pula akan menambahkan lagi keupayaan guru untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran di sekolah tanpa perlu berebut-rebut menggunakan komputer sedia ada.

“Apabila suasana pembelajaran semakin kondusif, kemudahan yang sempurna di sekolah untuk pelajar termasuk OKU dan beban tugas guru yang semakin berkurangan, sistem pendidikan negara akan bertambah baik untuk masa akan datang,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya