PETALING JAYA: Setelah sekian lama saingan Liga Malaysia (Liga M) tidak disiarkan secara langsung di Astro, musim 2023 menyaksikan mereka kembali menjadi penyiar rasmi liga bola sepak tempatan itu.
Tidak hanya membuat liputan perlawanan, malah bakal mengajikan perkara-perkara di belakang tabir, berita bola sepak terkini serta taklimat media sebelum dan selepas perlawanan.
“Rasanya seperti bola sepak sudah pulang ke rumahnya. Ia akan menjadi satu pengalaman yang mengagumkan. Kami akan siarkan kesemua 244 perlawanan di semua platform kami, satu pengalaman menonton yang menakjubkan bagi peminat.
“Kami percaya Astro adalah ‘rumah’ untuk sukan di Malaysia kerana kami berupaya memberikan liputan yang hebat, bukan sahaja kepada perlawanan, tetapi juga rancangan-rancangan majalah, sesi-sesi latihan dan pelbagai perkara di sekeliling permainan itu sendiri untuk benar-benar melibatkan peminat dalam permainan ini, di samping memikat peminat baru.
“Semua ini demi meningkatkan nilai dan rasa cinta kepada bola sepak di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith.
Sebanyak 244 perlawanan akan disiarkan dalam siaran berdefinisi tinggi (HD) bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia.
Astro juga membawakan dua saluran HD terbaharu khusus untuk Liga Malaysia iaitu Astro Arena Bola (Saluran 803) dan Astro Arena Bola 2 (Saluran 804) untuk menyiarkan perlawanan secara langsung dan ulangan.
Turut disiarkan ialah 13 program sokongan Liga Malaysia iaitu hari pra-perlawanan, hari perlawanan dan hari selepas perlawanan, termasuk di saluran On Demand, Astro GO, and platform digital.
Dalam pada itu, seramai lapan orang pundit akan terbabit dalam membuat analisis perlawanan, dibarisi bekas bintang-bintang bola sepak Malaysia iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan, B. Sathianathan, Azman Adnan, Safee Sali, Norsharul Idlan Talaha, Razman Roslan, Shahrom Kalam, dan Nizaruddin Yusof.
Sementara, barisan pengulas pula terdiri daripada Zainal Abidin Rawop, Izwan Mohd Noor, Aiman Sekaiichi, Wan Khairil Azwa, Asmawi Bakiri, Syed Adney, Hasnizam Uzir, dan Datuk Richard Scully.-UTUSAN