KUALA TERENGGANU : Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Mohd. Nasir, hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus dan Exco Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan parti tidak lama lagi.
Aizat Fikri dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu diambil selepas melihat keadaan UMNO ketika ini yang semakin kehilangan sokongan dari orang ramai terutama dari golongan muda.
“Penyertaan saya untuk bertanding dalam jawatan kepimpinan tertinggi UMNO ini adalah satu langkah semak dan imbang yang sihat di dalam parti.
“Saya juga berazam mahu memastikan suara akar umbi dapat dibawa hingga ke peringkat tertinggi parti walaupun ia datang dari seorang ahli biasa,” katanya.
Aizat Fikri adalah cucu kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohammad.
Tambah Aizat Fikri lagi, beliau juga mahu memastikan tiada lagi anasir tidak sihat dibawa dan menjadi budaya dalam parti termasuk tindakan melanggar perlembagaan serta peraturan parti.
“Hala tuju perjuangan saya adalah berpaksikan agenda memulih dan #binasemulaUMNO,” katanya yang turut meminta sokongan untuk pencalonannya itu. – UTUSAN