10 peniaga PKNS dapat perintah injunksi untuk tidak pindah - Utusan Malaysia

10 peniaga PKNS dapat perintah injunksi untuk tidak pindah

Peniaga PKNS
SEBAHAGIAN peniaga hadir pada pada sidang akhbar membantah arahan berpindah dekat Kompleks PKNS di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 10 peniaga kiosk push cart di Kompleks Beli Belah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menarik nafas lega apabila berjaya mendapat perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi, hari ini bagi menghalang arahan berpindah ke lokasi perniagaan baharu.

Perintah tersebut diberikan Hakim Khadijah Idris berkuat kuasa sehingga pendengaran semula pada 13 Mac ini selepas plaintif yang terdiri daripada tujuh orang memfailkan permohonan mereka melalui peguam, Kamaruddin Ahmad pada 24 Februari lalu dengan menamakan PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) sebagai defendan.

Menurut Kamaruddin, permohonan tersebut dibuat bagi menghalang arahan PREC daripada memindahkan mereka ke kawasan gerai Tempat Orang Lokal (TOL).

“Saya berharap dengan adanya injunksi sementara tersebut, peniaga boleh berniaga dengan tenang. Sementara itu saya sebagai peguam kesemua peniaga bersedia untuk perbicaraan pada 13 Mac dengan pihak PREC untuk permohonan kekal di lokasi perniagaan di tempat yang sama hingga tahun 2025,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan minggu lalu, sekumpulan peniaga berkenaan di Kompleks PKNS bertegas enggan berpindah ke lokasi baharu, TOL walaupun kawasan tersebut berada dalam bangunan yang sama.

Ini kerana, kawasan tersebut dianggap tidak strategik dan bakal menyebabkan mereka bakal menanggung kerugian seperti peniaga yang pernah beroperasi di tapak TOL tersebut walaupun tidak jauh dari lokasi asal gerai mereka.

Sementara itu seorang peniaga yang enggan dikenali memberitahu, pihaknya berharap pihak PREC tidak meneruskan tindakan memindahkan kesemua peniaga ke lokasi baharu sehingga perbicaraan tersebut selesai.

“Kami amat bimbang untuk berpindah ke lokasi yang dianggap bakal menjerumuskan perniagaan hingga tahap gulung tikar.

“Kesemua peniaga berharap untuk terus berniaga di lokasi sekarang, sebab itu permohonan Injunksi kami tetap usahakan dan berharap perbicaraan akan menyebelahi pihak kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya