GUA MUSANG: Tujuh premis menjual makanan di daerah ini diarah tutup selama dua minggu selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr. Zaini Hussin berkata, kesemua premis itu ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 semasa Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2023 yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin.
Menurutnya, sebanyak 71 premis makanan di sekitar Bandar Baru Gua Musang, Bandar Lama Gua Musang, Chiku, Paloh, Taman Tropika dan Dataran Kesedar diperiksa sepanjang operasi tersebut.
“70 anggota JKNK yang menjalankan pemeriksaan mendapati sebahagian pemilik premis makanan tidak mematuhi elemen penting kebersihan yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Selain itu, sebanyak 98 notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, antara kesalahan yang tertinggi dicatatkan dalam operasi itu adalah mengikut Peraturan 32(1)(b) iaitu kegagalan pengendali makanan memakai pakaian yang lengkap semasa mengendali makanan dengan sebanyak 67 notis kompaun telah dikeluarkan.
Katanya, kesemua notis kompaun yang ditawarkan berjumlah RM18,150.
“Sebahagian pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi tahap kebersihan akan diberi bimbingan bagi meningkatkan tahap kebersihan kedai mereka,” ujarnya-UTUSAN