Tinggal tunang tepi jalan elak dicekup JPJ - Utusan Malaysia

Tinggal tunang tepi jalan elak dicekup JPJ

ANTARA motosikal yang disita JPJ Pulau Pinang atas pelbagai kesalahan trafik pada Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Gara-gara terkejut melihat satu sekatan jalan raya, seorang lelaki tergamak meninggalkan tunangnya begitu sahaja selepas motosikal yang mereka naiki terbabas berhampiran laluan motosikal menuju ke Jambatan Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, lelaki itu terus memecut tanpa menghiraukan keadaan tunangnya yang dipercayai cedera di bahagian tangan dan kaki selepas terjatuh daripada motosikal.

Katanya, tidak lama kemudian, wanita itu turut menghilangkan diri selepas dipercayai berjaya menghubungi seorang kenalan untuk mengambilnya di situ.

Selain ‘drama’ lari meninggalkan tunang itu, katanya, terdapat seorang lagi penunggang wanita yang menangis teresak-esak kerana motosikal baharunya yang dibeli secara ansuran sebanyak RM480 sebulan disita kerana dia menunggang tanpa lesen.

Ujar beliau, kedua-dua senario itu antara sebahagian daripada gelagat penunggang motosikal dalam operasi penguatkuasaan kali ini.

“Kita ingin memberi peringatan kepada semua penunggang motosikal yang mana tahun ini adalah tahun penguatkuasaan.

“Maksudnya , JPJ akan mengambil tindakan tegas kepada penunggang-penunggang yang tidak memiliki lesen (memandu), LKM (lesen kenderaan motor) telah tamat juga akan disita. Kita tak akan bagi ruang dan peluang lagi,” katanya pada Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina malam tadi.

Selain Jambatan Pulau Pinang, operasi yang berlangsung selama empat hari bermula Sabtu lalu dan berakhir malam tadi turut dijalankan di dua lagi lokasi iaitu berhampiran plaza tol Juru arah utara dan plaza tol Sungai Dua arah selatan.

Operasi itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Imigresen dan kakitangan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan 74 keanggotaan keseluruhannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan memberitahu, sebanyak 2,043 motosikal diperiksa sepanjang operasi tersebut dengan 301 daripadanya diambil tindakan.

Beliau berkata, sebanyak 473 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan berkaitan pelesenan pemandu seperti tidak memiliki lesen memandu dan tidak mempamerkan pelekat P dan sebagainya merekodkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 176 notis.

Katanya, ini diikuti kesalahan teknikal termasuk pengubahsuaian kenderaan dengan 151 notis, pelesenan kenderaan seperti LKM tamat tempoh serta tidak dilindungi insurans dengan 95 notis dan selebihnya melibatkan lain-lain kesalahan.

“Boleh dikatakan setiap kali operasi (penguatkuasaan) dijalankan, kesalahan tidak memiliki lesen memandu adalah antara yang tertinggi.

“Ini menunjukkan kesedaran pengguna atau penunggang motosikal untuk memiliki lesen memandu itu masih rendah. Sepatutnya, sebelum menunggang kena pastikan ada lesen memandu terlebih dahulu” ujar beliau.

Tambah Adenan, dalam operasi sama, seramai 10 penunggang motosikal turut dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya