Tidak perlu rujuk ROS - Ahmad

Tidak perlu rujuk ROS – Ahmad

AHMAD MASLAN (dua dari kiri) menghadiri Majlis Ikrar Pelantikan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian di Pontian, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan tidak perlu dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana mematuhi Perkara 20 Peraturan Persidangan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setelah perkara tersebut dicadangkan oleh perwakilan dari Negeri Sembilan, pihaknya telah merujuk kepada para Peguam UMNO. 

Berdasarkan Perkara 20 Peraturan Persidangan, usul tersebut boleh diteruskan sekiranya mendapatkan kebenaran daripada Pengerusi Tetap persidangan ketika itu.

Menurutnya, selepas mendapat kebenaran daripada Pengerusi Tetap, usul berkenaan kemudiannya telah disokong oleh perwakilan dari Terengganu, seterusnya dibahas oleh perwakilan.

“Sebelum ini perkara yang sama juga telah diusulkan pada tahun 90-an, iaitu terdapat usul tambahan yang ditimbulkan oleh perwakilan dan dipersetujui oleh Pengerusi Tetap.

“Pengerusi Tetap ketika itu, Allahyarham Tan Sri Sulaiman Ninam Shah telah melakukan apa yang dilakukan oleh Pengerusi Tetap yang membenarkan usul itu diterima untuk dibahaskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Pelantikan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Pontian, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dan Pegawai  Daerah Pontian, Mohd. Raffi Abdullah.

Semalam, Persidangan Agung UMNO (PAU) memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang kini disandang Datuk Seri  Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dipertandingkan selepas majoriti perwakilan menyokong usul tambahan berkenaan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian berkata, kaedah pengundian juga adalah biasa dibuat, iaitu mereka yang menyokong bangun serta mengangkat tangan dengan majoriti menyokong usul tersebut.

“Sekiranya perkara tersebut dirujuk kepada ROS, saya dan Peguam-Peguam UMNO akan menjelaskannya kerana peraturan mesyuarat  membenarkan perkara tersebut dilakukan,” jelasnya.

Ditanya apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya ada pihak membuat aduan kepada ROS, Ahmad menjelaskan peraturan tersebut adalah jelas dan dibenarkan.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat, kesahihan langkah parti itu membawa dan menerima usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti boleh ditentukan oleh ROS.

Bekas perdana menteri itu berkata, ada ahli parti yang memiliki pandangan berbeza dalam isu tersebut dan ROS wajar menjadi tempat rujukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya