Speedy Tigers tetap membanggakan negara

Speedy Tigers tetap membanggakan negara

PEMAIN Malaysia, Shello Silverius (kiri) meraikan gol jaringannya ketika menentang Sepanyol pada Hoki Piala Dunia 2023 Bhubaneswar - Rourkela, India di Stadium Hoki Kalinga di sini, kelmarin.- UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BHUBANESWAR: Hampir 15,000 penyokong yang hadir membanjiri Stadium Kalinga kelmarin bangun dari tempat duduk dan memberikan tepukan gemuruh kepada skuad hoki negara walaupun gagal ke suku akhir Hoki  Piala Dunia 2023.

Situasi luar biasa itu berlaku ketika barisan pemain negara mengelilingi padang sejurus tewas 3-4 kepada Sepanyol menerusi penentuan shoot-out selepas terikat 2-2 dalam aksi cross over yang penuh mendebarkan.

Biarpun gagal ke suku akhir tetapi tinjauan di laman sosial mendapati rata-rata peminat sukan tempatan dan antarabangsa memuat naik status memuji keseluruhan persembahan mereka sepanjang aksi tersebut.

Tidak keterlaluan juga mengatakan nasib tidak menyebelahi Malaysia dalam aksi itu apabila satu jaringan negara dibatalkan oleh video referral selain penalti shoot-out diambil Shello Silverius terkena tiang gol.

Walaupun perit untuk menerima kekalahan itu tetapi ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj tetap berpuas hati dan berbangga dengan semangat juang ditunjukkan anak-anak buahnya.

“Sepanyol berada pada satu kelas yang berbeza disebabkan pendedahan mereka dan sentiasa beraksi di Sukan Olimpik serta Liga Pro FIH. Kita pula sudah lima edisi terlepas ke Olimpik.

“Pemain telah tunjukkan berjuang habis-habisan dan sangat kecewa kerana mereka semua nak bermain di suku akhir. Saya berbangga dengan mereka dan sekarang kami akan ke Rourkela semula untuk aksi seterusnya,” katanya.

Speedy Tigers kini terpaksa menghadapi perjalanan panjang dengan menaiki kapal terbang dari Bhubaneswar ke Jharsuguda dan kemudiannya mengambil bas yang akan memakan masa selama dua jam sebelum tiba di bumi Rourkela.

Berdasarkan format, Malaysia perlu bermain aksi klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 menentang pasukan tercorot Kumpulan A, Afrika Selatan di Stadium Hoki Birsa Munda pada Khamis ini.

Jika menang, Malaysia akan beraksi dalam satu lagi penentuan tempat kesembilan hingga 12 pada 28 Januari ini bertemu sama ada Wales atau tuan rumah, India yang turut gagal ke suku akhir.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya