MOSCOW: Russia mahu melancarkan kapal angkasa Soyuz MS-23 ke angkasa lepas tanpa manusia dengan misi membawa pulang tiga angkasawan mereka dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Pihak berkuasa angkasa lepas Russia berkata, hal ini kerana kapal angkasa Soyuz MS-22 sedia ada dikesan sedang menghadapi situasi kecemasan.
Angkasawan Russia, Sergei Prokopyev, Dmitry Petelin bersama angkasawan NASA, Francisco Rubio dijangka kembali ke bumi menaiki Soyuz MS-23 dalam beberapa minggu akan datang.
Soyuz MS-23 sepatutnya berlabuh ke ISS pada 22 Februari ini.
Bulan lalu, angkasawan-angkasawan berkenaan menemukan kerosakan pada kulit luar petak pemasangan instrumen Soyuz MS-22 yang berlabuh ke ISS yang menyebabkan penurunan tekanan dalam sistem penyejukan.
Kata kenyataan itu, sistem ISS dan Soyuz MS-22 beroperasi seperti biasa, tetapi Roscosmos dan agensi angkasa lepas yang lain mengambil langkah untuk memastikan anak kapal pulang dengan selamat ke bumi sekiranya berlaku kemalangan sebelum ketibaan Soyuz MS-23.
Kapal angkasa Soyuz MS-22 berlepas dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan pada 21 September tahun lalu, membawa Prokopyev, Petelin dan Rubio ke ISS untuk tinggal selama enam bulan di orbit.-Xinhua