GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan penyakit demam babi Afrika (ASF) di negeri ini sebagai bencana setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri mengesahkan setakat hari ini tujuh buah ladang babi komersil dijangkiti penyakit terbabit.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tujuh buah ladang babi komersial itu masing-masing lima di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT).
Menurutnya, pengesahan penyakit itu dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah, pada 4 hingga 12 Januari lalu ke atas sampel babi dari ladang-ladang tersebut.
”Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPV Pulau Pinang telah menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Minggu lalu, sebuah ladang babi di daerah SPS di diarahkan ditutup selepas kes ASF dikesan di ladang tersebut.
Kenyataan itu berkata, pemusnahan tersebut dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (High Concentration) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum ditanam secara sempurna.
“Sehingga hari ini, sebanyak 929 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang di daerah SPS.
“Pemusnahan akan diteruskan pada hari ini di ladang kedua setelah terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka memakan masa kira-kira satu minggu untuk diselesaikan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, aktiviti pemusnahan tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan babi.
”Bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer (km) dari ladang yang terlibat terus aktif dijalankan.
”Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelihan babi berlesen di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, sekatan jalan raya (SJR) telah mula dijalankan di jalan-jalan masuk ke
kawasan perkampungan Valdor bermula 10 Januari lalu.
“SJR ini dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk babi hidup serta karkas babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain,” katanya. – UTUSAN