PETALING JAYA : Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon perlu merencanakan strategi terbaik untuk memastikan skuad kebangsaan mampu memberikan saingan yang sehabis baik pada Piala Asia 2023.
Perkara pertama yang perlu diberikan perhatian oleh jurulatih kelahiran Korea Selatan itu adalah aspek pemilihan pemain agar mereka yang mewakili negara betul-betul bersedia dan mampu menyumbang sesuatu.
Adalah diharapkan juga, kelab-kelab dapat melepaskan pemain masing-masing untuk untuk mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi dan seterusnya dapat menaikkan nama pemain itu sendiri.
Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, percaturan taktikal dan kaedah latihan yang diterapkan Pan Gon di Piala AFF wajar diberikan pujian kerana berjaya meneruskan rentak cemerlang Harimau Malaya walaupun tanpa barisan pemain bintang.
Bagaimanapun katanya, Pan Gon tidak boleh bergantung harap kepada pemain sedia ada untuk bersaing dalam Piala Asia 2023 kerana saingannya dalam kejohanan itu lebih sengit melibatkan kuasa besar rantau Asia.
“Sejak Pan Gon ambil alih, Harimau Malaya memang jelas sudah berubah dan ada peningkatan ketara. Sekarang, walaupun tanpa beberapa nama besar, dia mampu pastikan anak buahnya beraksi pada tahap terbaik.
“Bagaimanapun, untuk Piala Asia 2023 nanti, saya fikir kita kena panggil pemain-pemain ‘regular’ untuk kuatkan pasukan kebangsaan. Saingannya pasti berbeza, sebab itu kita perlukan pemain berpengalaman dan ada kemahiran tinggi.
“Saya berpandangan, kita boleh kekal beberapa pemain dalam skuad semasa ini seperti Faisal Halim, Brendan Gan, Stuart Wilkin, V. Ruventhiran, Haqimi Azim, Lee Tuck, Dominic Tan dan beberapa nama lain lagi yang dilihat menyerlah.
“Jika kita campurkan pemain sedia ada ini dengan pemain regular sebelum ini, saya percaya kita ada kekuatan untuk beraksi di Piala Asia nanti namun, semuanya terpulang kepada percaturan Pan Gon kerana dia tahu kelemahan dan kelebihan pemain.
“Sama juga dalam soal taktikal, Pan Gon lebih pandai untuk tentukan kerana dia bersama pemain dalam sesi latihan dan mungkin ada taktikal yang dia ingin terapkan, sama seperti separuh akhir kedua Piala AFF menentang Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya reaksinya selepas Malaysia tersingkir di Piala AFF selepas tewas kepada Thailand di separuh akhir, Hassan berkata, perkara itu perlu diterima dengan hati terbuka kerana skuad Gajah Perang tampil dengan lebih baik pada aksi timbal balik.
“Kita buat pertukaran pemain sehingga empat pemain dan Thailand pula hanya tukar penjaga gol sahaja dalam kesebelasan utama. Tetapi, saya percaya Pan Gon ada perancangannya berdasarkan prestasi semasa pemain yang mungkin kepenatan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, beliau amat berharap Harimau Malaya akan tampil berbeza pada saingan Piala Asia 2023 selain mahu melihat skuad kebangsaan dibarisi oleh pemain-pemain terhebat untuk mengharumkan nama negara.-UTUSAN