ROURKELA: Tiga gol dalam tempoh sembilan minit membolehkan New Zealand merakam kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan C selepas menewaskan Chile 3-1 di Stadium Hoki Birsa Munda sebentar tadi.
Kemenangan itu sebenarnya sudah dijangka berdasarkan kedudukan ranking New Zealand yang lebih tinggi iaitu No.9 dunia berbanding wakil Amerika Selatan tersebut pada kedudukan ke-22 dunia.
Faktor gugup pada perlawanan pertama dalam penampilan sulung di pentas Piala Dunia juga dilihat sebagai punca utama Chile bolos tiga gol dalam tempoh sembilan minit.
Tiga gol ketika itu kesemuanya terhasil menerusi jaringan padang oleh Sam Lane pada minit ke-10 dan Sam Hiha pada minit ke-12 serta 19.
Bagaimanapun, wakil benua Oceania kendalian Greg Nicol itu berdepan kesukaran untuk menambah jaringan ke atas Chile yang sebaliknya berjaya meledak satu gol menerusi Ignacio Contardo pada minit ke-50.
Berdasarkan aksi antara New Zealand dan Chile itu, Malaysia dilihat mempunyai peluang cerah untuk menewaskan kedua-dua lawan tersebut dalam dua perlawanan Kumpulan C selepas ini. -UTUSAN