GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli dari Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini berdepan risiko termasuk kehilangan nyawa apabila menggunakan jambatan gantung berusia 15 tahun yang sudah uzur merentasi Sungai Belatop untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, mereka tiada pilihan dan terpaksa menggunakan jambatan tersebut kerana ia merupakan satu-satunya laluan keluar masuk yang ada.
“Jambatan gantung ini dibina semula selepas runtuh pada tahun 2008 lalu. Namun akhir-akhir ini, strukturnya sudah menjadi uzur dan sudah tidak selamat untuk digunakan.
“Kami pernah membuat permohonan untuk menaik taraf jambatan gantung itu, namun sehingga kini belum mendapat jawapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Along Ronggeng, 59, memberitahu, dia berharap jambatan terbabit dapat dinaik taraf kerana sudah terlalu uzur untuk digunakan.
Katanya, keadaan pagar dan lantai besi juga sudah banyak berlaku kerosakan.
“Kami risau untuk menggunakannya terutama pada awal pagi ketika ingin menghantar anak ke sekolah.
“Kami berharap pihak kerajaan dapat mengatasi masalah ini dengan membina sebuah jambatan yang kukuh buat penduduk Orang Asli di kampung ini,” ujarnya. -UTUSAN