PETALING JAYA: Bekas juara dunia silat, Mohd. Al Jufferi Jamari menuntut pesilat negara yang menggalas tugas pada kejohanan antarabangsa dan Sukan SEA Kemboja pada Mei depan membawa semangat juang tinggi untuk terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Jufferi yang mengumumkan persaraan selepas menoktahkan kemenangan gelaran dunia keempat di Melaka tahun lalu mengakui, atlet negara perlu mempunyai semangat juang tinggi
dalam usaha mempertahankan kemenangan meskipun berdepan kesukaran.
Pesilat negara yang bakal terpilih dalam skuad negara akan menghadapi tugas besar pada tahun 2023 apabila menyertai Kejuaraan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023 (SPISC)
pada 27 hingga 5 Mac, Kejohanan Terbuka Belgium (28-30 April), Sukan SEA (6-10 Mei), Kejohanan Dunia Ke-20 di Jakarta (19-25 Ogos) dan Kejohanan World Beach Pencak Silat di
Cebu, Filipina (Disember).
“Mereka ini boleh memenangi pingat emas, akan tetapi perkara yang merisaukan saya adalah mereka tidak berupaya untuk mengekalkan kejayaan tersebut.
“Bagi saya mereka perlu terus belajar kerana pada zaman ketika saya bergelar atlet dahulu, kita bukan sahaja belajar untuk berjaya tetapi mempertahankannya sekali. Kita perlu mempunyai
jiwa yang besar untuk melakukannya.
“Ketika saya berada dalam kejuaraan kebangsaan pada Disember baru-baru ini, pesilat muda negara ini ada semangat juang tinggi tetapi mereka tiada jiwa besar untuk mempertahankan
kemenangan.
“Saya harap, mereka dengar apa yang saya katakan dan mereka yang terpilih mewakili Malaysia atas kejayaan mereka di pentas kejuaraan kebangsaan perlu galas tanggungjawab ini
dengan baik,” katanya ketika ditemui semalam.
Al Jufferi menutup kariernya dengan kejayaan penuh gemilang apabila dinobatkan sebagai Ikon Sukan Terbaik pada Majlis Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro di Dewan Canselor Tun
Abdul Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Kejayaan itu menyaksikan Al Jufferi membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000, wang tunai RM5,000, sebuah trofi.-UTUSAN