IPOH: Setiap pemain dan pegawai pasukan hoki Perak akan menerima imbuhan RM5,000 kerana muncul juara Piala Tun Razak 2022.
Jumlah imbuhan itu dipersetujui dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Persatuan Hoki Perak (PHP) pada 14 Januari lalu.
Presiden PHP, Mohamed Sayuti Abdul Samat berkata, seramai 21 orang akan mendapat ganjaran itu.
“Hadiah wang ini sebagai imbuhan kepada pemain di atas kesungguhan dan segala pengorbanan mereka. Untuk muncul juara tiga tahun berturut-turut adalah satu kejayaan besar.
“PHP mengucapkan terima kasih kepada pemain, jurulatih dan pegawai serta Kerajaan negeri di atas sumbangan ini,” kata Sayuti kepada Utusan Malaysia.
Perak menundukkan Pahang 5-1 dalam perlawanan akhir trofi unggul itu yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ia sekali gus menyaksikan Perak berjaya mempertahankan kejuaraan mereka sejak 2020 dalam kejohanan yang kini sudah memasuki edisi ke-60 bagi kategori lelaki.
PHP menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM130,000 iaitu RM100,000 dari Kerajaan negeri dan RM30,000 dari Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas muncul juara kali ketiga berturut-turut.
Bagi kejayaan 2021, setiap pemain Perak menerima RM4,000.-UTUSAN