SHAH ALAM: Seorang pelajar sekolah dilaporkan lemas di Tasik Cermin, dalam satu kejadian dekat pusat rekreasi berhampiran Bukit Cherakah di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa, Muhammad Khairul Hamizan Mustapa, 16, lemas ketika berenang bersama enam rakannya pada pagi tadi.
“Bomba menerima panggilan berhubung insiden terbabit kira-kira pukul 12.16 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian bersama 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik.
“Semasa kumpulan itu berenang bersama, baru mereka menyedari mangsa hilang dari pandangan. Jadi mereka menghubungi bomba bagi mencari mangsa secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa telah ditemui bomba kira-kira pukul 2.15 petang, beberapa meter daripada lokasi dia dipercayai lemas.
“Mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapar Indah dan tinggal di Sementa,” ujarnya.
Kata Norazam lagi, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. – UTUSAN