MENGAPAKAN masyarakat perlu pandai melakar atau melukis? Soalan ini ditujukan kepada golongan masyarakat seperti pembuat dasar, pemimpin, pemikir, pendidik, pelajar dan orang awam.
Satu soalan mungkin agak remeh dan asing kepada mereka yang tidak menyedari kepentingan melakar dan melukis dalam membentuk masyarakat berdaya cipta. Seterusnya menjadikan masyarakat tersebut menjadi lebih dinamik dan progresif.
Penjelasan yang akan diberikan hanya berkaitan dengan komunikasi visual spontan dan tiada kaitan dengan domain seni visual (Diagram 1).
Keupayaan melakar dan melukis adalah diantara kunci terpenting untuk mewujudkan masyarakat berdaya cipta ataupun Masyarakat Pencipta. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sempat mengarang ebook bertajuk Kunci Masyarakat Pencipta (Visualization Through Freehand – VTF) yang menjelaskan kepentingan keupayaan melakar dan melukis untuk menzahirkan idea dan menyampaikan informasi secara efektif.
Tanpa keupayaan ini, pastinya idea-idea bernas dan kreatif akan gagal dizahirkan dan seterusnya gagal disampaikan secara berkesan kepada kumpulan sasar.
Seterusnya merugikan banyak pihak terlibat dalam masyarakat secara langsung dan tidak langsung. Seterusnya mengakibat kerugian besar kepada masyarakat dan negara.
Masyarakat abad ini adalah masyarakat visual. Setiap komunikasi pada abad ini perlu disertakan dengan visual untuk memastikan keberkesanannya. Ia amat diperlukan dalam komunikasi visual spontan (lakaran atau lukisan tangan) atau komprehensif (lakaran atau lukisan digital).
Artikel ini akan hanya membincangkan secara mendalam tentang keupayaan melakar atau melukis untuk komunikasi visual spontan. Ramai tidak mengetahui informasi kompleks jika disampaikan melalui lisan dan teks sahaja tidak akan difahami secara optimum dan kurang berkesan.
Informasi itu akan menjadi subjektif dan pelbagai interpretasi akan wujud. Interpretasi ini pula bergantung kepada pengetahuan dan kemampuan berfikir si penerima informasi tersebut.
Adakah anda tahu? Mereka yang mahir melakar dan melukis tidak semestinya mahir berkomunikasi secara visual spontan berkesan.
Mereka memerlukan pengetahuan khusus dan perlu dipelajari secara formal berkaitan komunikasi visual spontan. Konsep ini samalah seperti kita mempelajari teknik menulis dan membaca. Ia memerlukan pengetahuan dan teknik tertentu untuk memudahkan kita menulis dan membaca. Ada dua keupayaan penting yang perlu dipelajari dan dikuasai iaitu Visualization Through Freehand (VTF) dan Visual Communication Through Freehand (VCTF). Keupayaan VTF digunakan untuk menzahirkan idea manakala keupayaan VCTF untuk membolehkan seseorang dan kumpulan berkomunikasi secara visual spontan berkesan.
Keupayaan melakar dan melukis amat diperlukan dalam komunikasi visual spontan. Ia digunakan semasa proses perbincangan formal dan tidak formal termasuklah sesi perbincangan, mesyuarat dan lain-lain yang dirasakan perlu.
Keupayaan ini amat diperlukan dalam menyampaikan informasi, isu atau masalah kompleks dalam bentuk yang mudah difahami. Ramai tidak mengetahui komunikasi visual merupakan satu-satunya mod komunikasi yang boleh melerai dan meringkaskan informasi, isu dan masalah kompleks. Ia juga amat penting dalam menyampaikan solusi ringkas kepada hal yang dinyatakan sebelum ini.
Berdasarkan kepada pengamatan penulis yang telah melatih lebih daripada 8000 orang di seluruh Malaysia, masyarakat kita lemah dalam keupayaan VTF dan VCTF ini. Dalam erti kata lain, mereka tidak mahir untuk melakar atau melukis untuk berkomunikasi secara visual spontan.
Perancangan dan pelan tindakan strategik amat perlukan dibuat oleh pihak berwajib untuk membudayakan masyarakat dengan keupayaan VTF dan VCTF ini. Impaknya sangat jelas jika kita gagal membudayakan keupayaan ini, kita tidak akan dapat mewujudkan masyarakat berdaya cipta yang dinamik dan progresif. Ini disebabkan oleh ketidakupayaan masyarakat untuk menzahir dan menyampaikan idea-idea bernas secara efektif.
Proses ini juga secara langsung akan mengganggu proses berfikir untuk menjadi dinamik dan progresif. Proses berfikir menjadi lembab dan akan mengakibatkan tindakan seterusnya menjadi perlahan dan memakan masa yang lama. Kecekapan melakar atau melukis idea akan membolehkan proses berfikir menjadi dinamik dan keputusan tepat dan berkesan dapat dihasilkan.
“Miscommunication” adalah impak besar kepada kegagalan menyampaikan informasi kompleks secara berkesan dan seterusnya mempengaruhi daya cipta sesebuah masyarakat. Banyak senario “miscommunication” (Diagram 2) berlaku setiap hari dalam masyarakat kita. Pernahkah kita terfikir kesan dan impak daripada senario-senario ini?
Satu kajian menyatakan bahawa sesebuah organisasi yang mempunyai 100 orang kakitangan akan menanggung kerugian AS$420,000 setahun disebabkan oleh “miscommunication”.
Manakala organisasi yang mempunyai 100,000 kakitangan akan menanggung kerugian AS62.4 juta setahun. Pastinya kita boleh mencongak, negara akan kehilangan berbilion-bilion ringgit disebabkan oleh ”miscommunication’. Apa usaha kita kepada masyarakat untuk mengurangkan senario-senario ini?
Berdasarkan kepada pengamatan penulis semasa melatih peserta dalam siri latihan VTF dan VCTF, boleh disimpulkan masyarakat kita amat kreatif dan inovatif. Cuma mereka tidak pernah dilatih secara formal untuk menzahir dan menyampaikan idea-idea kreatif dan inovatif secara berkesan. Impaknya proses menzahir dan menyampaikan idea-idea tersebut menjadi perlahan dan kurang efektif.
Pembudayaan keupayaan VTF dan VCTF ini perlu dirancang dan dilakukan dengan segera jika kita ingin mewujudkan masyarakat berdaya cipta yang dinamik dan progresif. Kecekapan masyarakat kita berfikir sahaja tidak mencukupi untuk menyokong usaha ini. Masyarakat perlu dibudayakan dengan keupayaan VTF dan VCTF.
Pembudayaan keupayaan VTF dan VCTF kepada masyarakat amat berkait rapat dengan keupayaan mencipta. Pembudayaan ini akan mewujudkan daya cipta yang sangat kuat kepada masyarakat. Kita hanya ada satu pilihan sahaja untuk menjadi masyarakat kita berdaya cipta secara efektif iaitu membudayakan VTF dan VCTF kepada masyarakat.
Kegagalan kita untuk membudayakan keupayaan ini akan menjadikan masyarakat kita hanya mampu mengguna (tiruvasi) dan bukan mencipta inovasi (Diagram 3).